Pendidikan punca generasi muda tidak berpadu, kata Khairy


Melati A. Jalil

Sistem pendidikan yang pelbagai jenis menyebabkan generasi muda kita membesar terasing, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Oktober, 2017.

PERPADUAN antara rakyat Malaysia adalah isu yang perlu ditangani, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang menyifatkan sistem pendidikan negara ini bertanggungjawab memisahkan generasi kini.

Katanya antara isu yang perlu dibincangkan dalam dialog TN50 adalah pendidikan dan bagaimana untuk menyatukan orang muda.

“Ada satu perkara yang saya tak tahu sama ada kita boleh selesaikan, saya mahu selesaikan tetapi ia sangat sukar.

“ Kerana anak-anak kita membesar terpisah daripada satu sama lain, kerana mereka pergi ke sekolah berbeza. Ia sesuatu yang kita persetujui tetapi kini merupakan masalah.

“Sama ada boleh atau tidak kita tulisnya kembali, saya tak tahu kerana ia perjanjian lamam, kita ada sekolah berbeza; sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, Tahfiz, kita ada sekolah antarabangsa dan sekolah swasta tetapi akibatnya anak-anak kita membesar berasingan. Itu masalah besar untuk kita,” katanya pada ucapan penutup majlis dialog TN50 di Touch N’ Go di Bangsar.

Katanya, kepelbagaian adalah salah satu aset negara dan ia perlu diraikan kerana perkara itu memaknakan Malaysia sebagai sebuah negara.

“Jika anda tengok di mana-mana, online, perkara yang memecahkan kita adalah perkara yang sepatutnya kita banggakan. Bila kita ke luar negara, kita bangsa beritahu Malaysia adalah negara pelbagai kaum, etnik, agama, jadi datanglah ke negara saya, ia Asia yang sebenarnya.

“Tetapi bila kita di sini, ia jadi liabiliti,” katanya. – 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen