MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bekas pengerusi Felda, Mohd Isa Abdul Samad melantik peguam baharu, mengendalikan satu kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta dihadapinya, berhubung meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.
Perkara itu dimaklumkan peguam Salehuddin Saidin, pada sebutan kes itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
“Pihak kami baru sahaja dilantik oleh anak guam (Isa). Sebelum ini, peguam yang mengendalikan kes ini ialah Ridha Abdah Subri dan Lavinia Kumaraendran.
“Kedua-dua peguam ini tidak mengendalikan kes ini. Pihak kami akan memfailkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan,” katanya yang tidak memaklumkan mengapa dua peguam itu tidak lagi mewakili Isa, 70.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memaklumkan pendakwaan akan menyerahkan semua dokumen termasuk pernyataan saksi kepada pasukan pembelaan, pada atau sebelum 20 September. Mahkamah menetapkan 23 September untuk pengurusan kes.
Nazlan berkata tarikh bicara masih dikekalkan dan tarikh baharu akan ditetapkan, sekiranya perbicaraan tidak dapat dihabiskan pada masa yang dijaduakan itu.
“Tarikh bicara mahkamah masih mengekalkan tarikh sama iaitu 7,8,9 Oktober 14,15,16,17,18 dan bersambung 21,22,23,24,25 Oktober depan. Representasi pula, sekiranya ada perkembangan boleh maklumkan kepada mahkamah,” kata hakim itu.
Pada 14 Disember 2018, Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah, dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta, bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh FIC.
Beliau dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama, 30 Ogos, 2019.
Komen