Polis digesa ambil tindakan terhadap pelaku video seks


Kalidevi Mogan Kumarappa

Timbalan Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat Mohamad Ali Mohamad (tengah) bersama ahli majlis tertinggi Umno Armand Azha Abu Hanifah (kiri) dan Presiden Organisasi BANGKIT Shahrin Azlan bertemu dengan media di luar Pejabat Perdana Menteri hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 30 Ogos, 2019.

PERDANA Menteri digesa memberi kebebasan kepada polis untuk mengambil tindakan terhadap pelaku dalam kes video seks terkait dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat Mohamad Ali Mohamad berkata laporan forensik yang diperoleh daripada Verden Forensics yang berpangkalan di United Kingdom (UK) sendiri sudah membuktikan identiti kedua-dua individu dalam video berkenaan.

Katanya, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kini perlu bertindak secara profesional dalam siasatan kes ini.

“Yang peliknya, bagaimana seorang daripada individu itu sudah mengakuinya tindakan tetapi sehingga sekarang tiada tindakan diambil ke atasnya.

“Pengakuan individu itu sebenarnya sudah memudahkan kerja polis tetapi masih tiada tindakan daripada polis.

“Hari ini, kami menyerahkan laporan forensik kepada wakil pejabat Perdana Menteri dan dalam masa tujuh hari, laporan yang sama akan diserahkan kepada polis dan timbalan perdana menteri,” katanya.

Laporan forensik sebanyak 55 mukasurat itu mengandungi nama penyelidik forensiknya, James Zjalic, tarikh analisis dijalankan, tarikh laporan siap dan keputusan analisa.

Dalam laporan itu, turut disertakan lampiran gambar Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdul Aziz.

Mohamad Ali turut mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamed untuk merehatkan Azmin sementara kes berkenaan selesai.

Sebelum ini, polis sudah meminta Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam menghantar bukti yang didakwa diperolehi daripada syarikat UK itu.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sudah menghantar sepucuk surat kepada Lokman meminta salinan video diberikan kepada syarikat itu, Verden Forensics yang menyediakan perkhidmatan analisis forensik, lapor portal Free Malaysia Today.

Polis juga meminta laporan analisis dibuat syarikat itu.

Lokman bagaimanapun berkata, beliau akan berjumpa polis pada 2 September ini kerana sedang berada di Indonesia sekarang.

Minggu lepas, selepas pulang dari UK, Lokman berkata beliau sudah berurusan dengan syarikat tersebut untuk mengesahkan ketulenan video intim dua lelaki itu.

Katanya, analisis syarikat itu mendapati dua lelaki dalam video berkenaan “menyamai” Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Haziq sebelum ini mengakui beliau adalah salah seorang pelaku video itu dan menamakan Azmin sebagai seorang lagi pelakunya.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut menyifatkannya sebagai rancangan jahat merosakkan kerjaya politiknya.

Sebelum ini, Hamid berkata pakar Malaysia mendapati ketulenan video itu “tinggi” tetapi identiti pelakunya tidak dapat dipastikan dengan tepat.

Lokman juga sekali lagi mempersoalkan mengapa polis tidak menghantar kertas siasatan video seks itu kepada Jabatan Peguam Negara dan mengapa PKR mahupun kerajaan Pakatan Harapan tidak mengambil sebarang tindakan kepada Azmin berkaitan skandal itu. – 30 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen