Kerajaan Jepun sekali lagi diarah bayar pampasan mangsa nuklear Fukushima


MAHKAMAH Daerah Fukushima pada Selasa mengarahkan kerajaan Jepun dan pengusaha loji tenaga Daiichi yang rosak iaituTokyo Electric Power Company Holdings Inc (TEPCO), membayar pampasan kepada kira-kira 3,800 penduduk yang terjejas akibat bencana nuklear yang dicetuskan tsunami susulan gempa bumi pada 2011, lapor agensi berita China Xinhua.

Tsunami yang dicetuskan gempa bumi itu telah merosakkan sistem penyejukan serta sokongan di loji utama Daiichi sehingga menyebabkan kebocoran, dan bencana nuklear Fukushima dianggap paling buruk selepas insiden Chernobyl pada 1986.

Keputusan pada Selasa merupakan yang ketiga terhadap TEPCO dan jumlah plaintif terbabit ialah antara mereka yang memfailkan 30 saman serupa untuk mendapatkan pampasan daripada syarikat itu serta kerajaan Jepun.

Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada kebanyakan plaintif dalam kes-kes sebelum ini, bagaimanapun dalam kes ini, lebih 80 peratus pihak penuntut tidak melarikan diri dari rumah mereka susulan krisis nuklear itu.

Mereka mendakwa kerajaan bertanggungjawab kerana dapat meramalkan bahawa tsunami yang cukup besar boleh melanda dan merosakkan loji tenaga Daiichi yang menghadap Lautan Pasifik, berdasarkan penilaian yang dibuat pada 2002.

Oleh itu, kerajaan berupaya mengarahkan TEPCO agar mengambil langkah pencegahan yang boleh mengelak bencana tersebut.

Plaintif turut mendakwa tahap radiasi di beberapa kawasan kediaman dalam Wilayah Fukushima perlu dikurangkan ke tahap prabencana.

Mereka menuntut pampasan bulanan sebanyak 50,000 yen (AS$440) sehingga tahap radiasi kembali kepada 0.04 microsievert sejam, sama seperti tahap sebelum krisis nuklear itu berlaku. – Bernama, 10 Oktober, 2017.



 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen