Akui kehilangan paksa wujud di Malaysia, Suhakam beritahu Putrajaya


Noel Achariam

Suhakam menggesa kerajaan meratifikasi ICERD sebagai langkah pertama untuk memastikan tiada berlakunya pelanggaran hak asasi manusia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2019.

PUTRAJAYA mesti terlebih dahulu mengakui kewujudan kes kehilangan paksa di negara ini untuk menangani pelanggaran hak asasi manusia, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Suruhanjaya menggesa kerajaan meratifikasi Konven­syen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai langkah pertama, bagi memastikan perlindungan undang-undang dan remedi diberikan kepada mangsa.

Ratifikasi itu juga akan memberi isyarat yang Putrajaya menganggap kehilangan dipaksa sebagai tidak boleh diterima, kata Suhakam dalam satu kenyataan bersempena Hari Antarabangsa Mangsa-mangsa Kehilangan Paksa hari ini.

Malaysia pada masa ini tidak mempunyai undang-undang atau peraturan berkaitan dengan kehilangan paksa, dan tiada peruntukan untuk sebarang remedi sekiranya kehilangan melibatkan pihak atau ejen negeri.

“Kes dakwaan kehilangan paksa sering dikelaskan sebagai kes orang hilang atau penculikan.

“Oleh itu, tiada data rasmi mengenai jumlah kes seperti itu di Malaysia,” kata Suhakam.

Sudah lebih empat bulan sejak laporan Suhakam dikeluarkan yang mengatakan penglibatan polis Cawangan Khas dalam penculikan Pastor Raymond Koh dan pengasas Perlis Hope Amri Che Mat.

Siasatan Suhakam memuktamadkan yang mereka adalah mangsa kehilangan paksa.

Koh hilang pada Februari 2017, dan Amri pada November tahun lepas.

Walaupun kerajaan sudah menubuhkan pasukan petugas khas bagi kes kehilangan Amri berikutan hasil siasatan Suhakam, suruhanjaya itu berkata tugasan pasukan ini masih belum diketahui. – 30 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen