PEMIMPIN aktivis demokrasi Hong Kong, Joshua Wong ditahan hari ini, sehari sebelum himpunan yang dirancang diadakan di ibu kota itu diharamkan oleh polis.
“Setiausaha agung kami @joshuawongcf baru ditahan pagi ini sekitar 7:30,” kata Demosisto menerusi Twitter.
“Dia dipaksa masuk ke dalam minivan persendirian di tepi jalan. Peguam kami sedang meneliti kes itu.”
Tiada pengesahan tentang penahanan Wong dan polis tidak menjawab panggilan telefon.
Lebih 850 individu ditahan berkaitan protes yang berlangsung sejak Jun, termasuk Andy Chan yang juga berkempen untuk mendapatkan kemerdekaan negara. Dia ditahan polis di lapangan terbang Hong Kong pada malam Khamis.
Chan ditahan ketika mahu berlepas ke Jepun, lapor laman web Hong Kong Free Press yang memetik jurucakap polis sebagai berkata beliau disyaki merusuh dan menyerang seorang anggota polis.
Parti keci Chan diharamkan tahun lalu dengan alasan ia menggugat keselamatan negara, pengharaman pertama dilakukan sejak pulau jajahan British itu dikembalikan kepada pentadbiran China pada 1997.
Ahli parti itu hanya beberapa puluh saja, tetapi Beijing melihat desakan untuk mendapatkan kemerdekaan sebagai amaran.
Hong Kong gempar dengan kekecohan politiknya dengan demonstrasi diadakan besar-besaran, mencetuskan keganasan berlaku antara polis dan penunjuk perasaan. – AFP, 30 Ogos, 2019.
Komen