PRESIDEN Mexico Andres Manuel Lopez Obrador berkata, satu “kamera canggih” ditemui di pejabatnya, tetapi menambah tidak bimbang kerana tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.
“Beberapa hari lalu, di sebuah bilik di pejabat (presiden), mereka menemui sebuah kamera canggih yang kecil itu. Kami sedang dirakam,” katanya pada sidang akhbar di Mexico City.
Lopez Obrador, seorang ahli politik berhaluan kiri dipilih tahun lepas, tidak mengatakan siapa berkemungkinan di belakang kejadiaan itu tetapi berkata beliau tidak bimbang.
“Apa yang mereka dapat dengan melakukan itu? Semua yang kami bincangkan adalah benar dan telus, tiada apa-apa yang boleh mereka gunakan terhadap kami,” katanya.
“Saya tidak fikir ia adalah isu sensitif. Kami tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan ... Semua yang kami katakan adalah untuk pengetahuan umum.”
Lopez Obrador terkenal dengan pendekatannya yang tidak begitu menitikberatkan dengan keselamatan presiden.
Beliau membubarkan pengawal presiden apabila memegang jawatan, bergantung kepada sekumpulan pengawal peribadi yang kecil, dan bergaul rapat dengan rakyat ketika dalam perjalanannya ke seluruh negara - dengan menaiki penerbangan komersil, juga mahu menjual jet milik kerajaan yang disediakan untuk presiden. – AFP, 30 Ogos, 2019.
Komen