20 tahun selepas insiden berdarah Timur Timor


Timur Timor, negara yang mempunyai 1.3 juta penduduk majoriti beragama Katolik diiktiraf sebagai negara bebas pada 2002 oleh masyarakat antarabangsa. – Gambar EPA, 30 Ogos, 2019.

TIMUR Timor hari ini meraikan 20 tahun berakhirnya penjajahan tentera Indonesia, menerusi undi yang mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan seterusnya membuka laluan untuk menjadi negara merdeka.

Pada 30 Ogos, 1999 hampir 80% rakyat Timur Timor membuat undi memilih untuk berpisah daripada negara jirannya Indonesia yang menjajah bekas jajahan Portugis itu pada 1975, dan bermulanya penjajahan ketenteraan selama 24 tahun.

Tetapi kegembiraan untuk mengecap merdeka bertukar menjadi ganas apabila pasukan tentera Indonesia dan militia proksi bertindak memusnahkan infrastruktur dan menyebabkan ratusan ribu rakyat melarikan diri ke bahagian lain di Indonesia. Kira-kira 1,400 orang terbunuh.

Pada hari ini, sambutan ulang tahun ke-20 dijadualkan dengan tetamu kehormat dari luar negara termasuk Perdana Menteri Australia Scott Morrison, yang akan turut menyertai perjanjian sempadan maritim yang dapat membuka janaan pendapatan berbilion dolar daripada minyak dan gas bagi masa depan negara miskin itu.

Perjanjian itu diratifikasi oleh Parlimen Australia bulan lalu.

Timur Timor – negara yang mempunyai 1.3 juta penduduk majoriti beragama Katolik – diiktiraf sebagai negara bebas pada 2002 oleh masyarakat antarabangsa.

Dua dekad berlalu, tiada keadilan diberikan kepada keluarga yang maut dalam keganasan pasca undi, yang akhirnya ditenangkan oleh tentera pengaman PBB diketuai oleh Australia.

Penjajahan di Timur Timor dianggarkan menyebabkan kematian 250,000 nyawa akibat peperangan, penyakit dan kebuluran.

Pada 2008, suruhanjaya rekonsiliasi dan kebenaran secara bersama Indonesia-Timur TImor mendapati berlaku pelanggaran hak asas manusia ketika penjajahan itu dan referendum 1999. Tetapi pemimpin kedua-dua negara menolak untuk mendakwa tentera dan pemimpin militia yang bertanggungjawab atas pertumpahan darah itu. – AFP, 30 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen