Amazon makin terbakar, Brazil larang pembakaran haram


Ribuan askar dan anggota bomba dikerahkan sejak hujung minggu lalu untuk memadam kebakaran di hutan Amazon di Brazil. – Gambar EPA, 30 Ogos, 2019.

LARANGAN 60 hari bagi aktiviti pembakaran di Brazil berkuat kuasa semalam susulan kebakaran teruk di Amazon dan data menunjukkan ratusan lagi kebakaran baharu berlaku di hutan itu.

Arahan itu dikeluarkan oleh Presiden Jair Bolsonaro susulan tekanan antarabangsa semakin kuat berhubung kebakaran paling teruk di Amazon itu yang mencetuskan perbalahan diplomatik antara Brazil dan Eropah.

Tetapi aktivis berkata larangan itu tidak akan berjaya.

“Orang yang membakar tanpa lesen tidak akan patuh arahan itu,” kata Rodrigo Junqueira dan Institut Sosio Alam Sekitar.

Ribuan askar dan anggota bomba dikerahkan sejak hujung minggu lalu untuk memadam kebakaran, bersama dua helikopter C-130 Hercules dan pesawat lain terus menjatuhkan air di kawasan terjejas di utara negara itu.

Polis semalam menahan tiga individu kerana membakar lebih 5,000 hektar kawasan konservasi di Para.

Lebih 1,600 kebakaran baharu tercetus antara Selasa dan Rabu, menyebabkan hampir 85,000 api dikesan tahun ini – jumlah tertinggi sejak 2010, menurut data rasmi. Separuh daripadanya di kawasan lembangan Amazon. – AFP, 30 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen