Tiada bukti China salah guna pinjaman untuk sekolah Uighur


China dikatakan membuat pinjaman kepada Bank Dunia untuk persekolahan masyarakat minoriti Uighur Muslim. – Gambar fail EPA, 30 Ogos, 2019.

BANK Dunia semalam berkata ia sekali lagi menyemak semula pinjaman kepada China untuk menyediakan pendidikan vokasional kepada masyarakat minoriti Uighur yang beragama Islam, tetapi tidak ada tanda yang wang itu digunakan untuk perkara lain kecuali persekolahan.

Layanan China terhadap Uighur – kebanyakannya beragama Islam, minoriti yang menggunakan bahasa Turkic tertumpu di kawasan barat laut wilayah Xinjiang – dikritik keras.

Majalah Foreign Policy kelmarin melaporkan lebih AS$50 juta pinjaman dari Bank Dunia kepada China digunakan untuk membeli “kawat duri, pelancar gas dan perisai badan”.

Tetapi bank itu berkata semakan terdahulu yang dilakukan dua kali setahun, tidak menunjukkan sebarang bukti.

“Tidak ada bukti menunjukkan pinjaman yang dibuat untuk sekolah digunakan bagi tujuan lain, selain daripada yang dijanjikan di bawah projek itu,” kata bank berkenaan dalam satu kenyataan.

“Namun, berdasarkan dakwaan terbaru, kami menjalankan satu semakan tambahan oleh satu pasukan pakar.”

Awal bulan ini, Pesuruhjaya Eksekutif Kongres AS ke China menghantar surat kepada Presiden Bank Dunia David Malpass menyuarakan kebimbangan dan membangkitkan persoalan bagaimana wang itu digunakan. – AFP, 30 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen