PRESIDEN Donald Trump semalam membatalkan lawatannya ke Poland berikutan Taufan Dorian dijangka melanda Florida di mana bencana itu sangat bahaya, mungkin membawa ribut sehingga kategori empat.
Trump yang dijadualkan menghadiri upacara ulang tahun Perang Dunia Kedua di Poland hujung minggu ini, berkata beliau perlu fokus kepada persiapan berdepan dengan taufan itu.
“Keutamaan kami pada masa ini ialah keselamatan rakyat di laluan taufan itu,” katanya kepada media di White House.
Naib Presiden Mike Pence akan ke Poland menggantikannya, kata Trump.
Beliau menghubungi rakan sejawatnya di Poland, Andrzej Duda memohon maaf atas pembatalan itu, berkata ribut taufan dijangka membawa “bencana besar”.
Ramalan cuaca berkata Dorian, pada masa ini ribut dalam kategori satu – paling rendah dalam skala lima peringkat – boleh membawa bencana sekuat taufan kategori empat, berpotensi mengancam nyawa.
Gabenor Florida mengisytiharkan darurat di semua 67 daerah, memberi amaran kepada jutaan penduduk yang tinggal di pantai timur “negeri matahari” itu sebagai persediaan berdepan taufan besar itu. – AFP, 30 Ogos, 2019.
Komen