Zakir Naik umpama ‘racun’ di Malaysia, kata pegawai kanan polis


Pada 3 Ogos lalu, Zakir Naik dilaporkan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa berceramah di Kota Baru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2019.

KETIKA polis masih meneruskan siasatan ke atas Dr Zakir Naik, ramai pegawai kanan di Bukit Aman berpendapat pendakwah kontroversi itu bagaikan racun kepada perpaduan negara.

Seorang pegawai kanan berpangkat asisten komisioner berkata pendakwah itu rakyat India dan tidak pernah membesar dalam masyarakat majmuk di negara ini.

“Saya akui dia banyak berdakwah mengenai Islam tetapi pada masa yang sama, dalam ceramahnya wujud perbandingan antara agama. Itu yang menyebabkan rakyat Malaysia bukan Islam terguris hati.

“Selama ini, pendakwah tempatan jarang berbuat demikian malah Islam sendiri melarang umatnya untuk menghina agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, ceramah Zakir dan kenyataannya kini bagaikan racun kepada perpaduan dalam negara ini.

Sementara itu, seorang lagi pegawai berpangkat superintenden berkata, sebagai pelaksana undang-undang beliau cukup tidak menyenangi tindakan Zakir yang cuba lari daripada pendakwaan kes dan undang-undang negara asalnya.

“Beliau cukup hormat dan patuh kepada agama Islam, semestinya Tuhan akan menolongnya dalam sabitan kes di negara asalnya.

“Kita bagaikan berkompromi dengan pendakwaan ke atasnya dan membenarkan dia menetap di sini. Beliau bagaikan menggunakan Islam untuk selamatkan diri,” katanya.

Ramai pegawai kanan di Bukit Aman berpendapat pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik bagaikan racun kepada perpaduan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2019.

Pegawai berkenaan turut mempersoalkan khidmat pegawai pengiring trafik yang disediakan untuk Zakir ketika menghadiri ceramah di Kelantan.

“Siapakah dia? Pemimpin negara atau tokoh negara? Kenapa khidmat polis pengiring trafik perlu disediakan untuknya?

“Kita tidak perlu memberi layanan istimewa seperti ini untuk seorang pemegang status penduduk tetap. Kenapa tidak diberi layanan yang sama untuk pendakwah tempatan.

“Adakah wujud perbezaan kelas antara Zakir dan pendakwah tempatan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pegawai berpangkat asisten komisioner menyokong pendapat rakan sejawatannya.

“Kami di dalam pasukan polis nyata mempunyai pendapat yang sama.

“Siapa saja yang mewujudkan kucar-kacir dalam negara harus diambil tindakan. Dia sepatutnya dihantar pulang ke India, hadapi pertuduhan ke atasnya dan sekiranya didapati tidak bersalah, dia boleh pulang ke Malaysia pada bila-bila sama.

“Kami berkorban jiwa dan raga demi rakyat dan negara ini. Kami cintakan keamanan dan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.

Katanya, jika Zakir ingin kekal berada di negara ini, pendakwah itu harus berhenti membuat perbandingan antara agama dalam ceramahnya.

“Agama sesuatu yang subjektif dan sensitif. Jangan wujudkan api perkauman di negara ini.

“Kami, warga sang saka biru sanggup berkorban apa saja demi negara ini dan tidak akan berkompromi dengan tindakan yang akan mengganggu gugat keamanan negara,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Zakir dilaporkan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa berceramah di Kota Baru dan ia mencetuskan desakan supaya beliau dihantar pulang ke India.

Dalam program tersebut, Zakir dilaporkan berkata pihak yang mahu dia keluar dari Malaysia, haruslah meminta “tetamu lama” pulang terlebih dulu – yang dirujuknya kepada kaum Cina di negara ini.

Pada majlis sama, dia turut dilaporkan mengeluarkan kenyataan menghina penganut Hindu yang menurutnya lebih percaya dengan perdana menteri India berbanding Malaysia.

Bagaimanapun, Zakir berkata dia disalah petik, dan menjelaskan kenyataannya itu merujuk beberapa kumpulan Hindu yang memilih untuk menyokong kerajaan Modi dalam permintaan ekstradisinya walaupun menurutnya tiada bukti terhadap dirinya.

Antara pemimpin politik yang menyelar kenyataan Zakir ialah Rafidah Aziz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Lim Kit Siang, Dr Xavier Jayakumar, Gobind Singh Deo dan M Kulasegaran.

Susulan itu, polis mengeluarkan arahan tidak membenarkan semua program berkaitan Zakir dianjurkan di seluruh negara atas faktor keselamatan kerana ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat majmuk di sini.

Bagaimanapun, Khamis lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, mengulangi pendirian kerajaan tidak menghantar Zakir pulang ke India selagi penceramah bebas itu tidak membuat sebarang masalah.

“Kita ambil konsep Rahmah (Rahmatan Lil ‘Alamin), sebagai contoh orang datang rumah kita, takkan kita nak halau dia keluar dan hantar dia kepada musuh,” kata Dr Mahathir.

Polis juga memanggil Zakir sebanyak dua kali ke Bukit Aman untuk merakam keterangan berhubung lebih 100 laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Siasatan ke atas pendakwah itu dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas tuduhan menghina dan menggugat ketenteraman awam. – 30 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sapa pegawai kanan polis tu, melayu ka cina ka india ka

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Asrul Nizam · Ulasan