IRAN dan India dijangka memeterai Perjanjian Perdagangan Keutamaan (PTA) menjelang akhir 2019 bagi mengurangkan tarif ke atas pelbagai produk.
“Satu delegasi akan ke India dalam masa dua atau tiga minggu lagi. Ini adalah pusingan akhir rundingan,” kata duta besar Iran ke India Ali Chegeni kepada Bernama.
Perdagangan dua hala bernilai AS$17.5 bilion pada 2018, mencatatkan peningkatan kira-kira 30 peratus daripada 2017.
“Terdapat potensi untuk meningkatkan jumlah dagangan kepada AS$50 bilion setahun dalam jangka panjang,” kata Chegeni pada forum perniagaan di New Delhi pada Rabu.
Meskipun dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat, Iran masih antara pengimport minyak terbesar India, perdagangan kedua-dua negara merangkumi pelbagai produk.
Katanya, Iran dan India perlu mempertimbangkan perdagangan tukar barang untuk sektor pertanian dan farmaseutikal.
Iran berharap pembukaan cawangan Bank Pasargad di Mumbai dapat membantu menyelesaikan masalah yang timbul berikutan sekatan kewangan AS ke atas Tehran.
Pada Mac, Bank Rizab India memberi kelulusan kepada bank Iran untuk membuka cawangannya. – Bernama, 29 Ogos, 2019.
Komen