SATU tengkorak dan beberapa tulang dipercayai milik seorang lelaki ditemukan dalam kawasan kebun getah di Kampung Changkat Belingkor dekat Batu Gajah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Ahmad Adnan Basri berkata tengkorak dan tulang tersebut ditemukan berselerak dalam radius 15 meter oleh orang awam kira-kira pada 3.15 petang tadi sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.
“Kita turut menemukan baju, kain dan tali pinggang disyaki milik mangsa di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di Batu Gajah malam ini.
Ahmad Adnan berkata pihaknya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat yang akan dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, esok.
Beliau turut meminta oang ramai yang kehilangan ahli keluarga dalam tempoh terdekat supaya menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah Batu Gajah di talian 05-3629222 bagi membantu siasatan. – Bernama, 29 Ogos, 2019.
Komen