PENGEKSPORT durian Malaysia mempunyai tempahan sehingga pertegahan tahun depan, kata pemain industri selepas China memberi lampu hijau untuk mengimport durian beku pada Mei lalu.
Sejak itu, lima syarikat Malaysia mengeksport 565 metrik tan buah itu ke China dalam hanya tiga bulan. Jumlah keseluruhan eksport itu dinilai pada RM24.3 juta.
Sebelum ini, Malaysia hanya dibenarkan mengeksport isi durian dan durian beku ke China, yang sebelum ini mendapat bekalan durian dari Thailand.
Pengarah urusan Top Fruits Sdn Bhd Dr Tan Sue Sian memberitahu The Malaysian Insight, ini memberi cabaran kerana perlu memenuhi permintaan apabila bukan musim buah itu.
Top Fruit merupakan salah satu daripada lima pengeksport durian ke China yang diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Tan berkata, permintaan dari China akan meningkat sebanyak 50% pada musim durian.
“Kami akan menerima tempahan sehingga 60 kontena dan ia agak mencabar bagi kami untuk memenuhi permintaan memandangkan ia bermusim,” katanya dan menambah mereka akan cari jalan untuk selesaikan masalah ini.
“Harga sekarang bagi 1.5 kilogram durian di China adalah antara 199 yuan (RM116) dan 399 yuan (RM234).

“Musang King adalah yang paling dicari selepas harga bagi varieti itu meningkat dari RM60 sekilogram kepada RM100 sekilogram.”
Tan berkata, walaupun mereka menghantar buah ke China, ianya dibekukan pada suhu 18 darjah selsius, menjadikan ia tahan sehingga 18 bulan.
Katanya, kebanyakan isi durian beku dijual kepada pengimport dari Beijing, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen, Nanning, Xiamen, Qingdao, Zhejiang Suzhou, serta di bandar peringkat kedua dan ketiga.
Tan berkata, pemintaan eksport yang tinggi tidak akan menyebabkan pasaran tempatan kekurangan bekalan.
“Buah yang berkualiti baik dieksport, masih banyak lagi buah yang berkualiti baik untuk dinikmati penggemar durian,” katanya.
Kualiti buah yang dieksport telah ditetapkan dan Timbalan Menteri Pertanian dan Indusri Asas Tani Sim Tze Tzin memberi amaran kepada pengeksport mereka boleeh kehilangan lesen sekiranya menghantar ke luar buah yang kurang berkualiti.
Hanya durian yang ditanda gred A — seberat 1.4 kilogram ke atas — dibenarkan untuk eksport.

Sim berkata syarikat tempatan harus mencontohi China dalam mempromosikan durian di laman web dalam talian.
Beliau berkata jika pada masa lalu durian dipromosikan di gerai atau pameran perdagangan, kini mereka boleh melakukannya secara online melalui pelbagai platform e-dagang.
“Kami berharap organisasi swasta akan dapat membantu kami mempromosikan durian beku selain datang dengan jenama mereka sendiri, dengan bantuan kementerian,” katanya.
Sim memberitahu The Malaysian Insight bahawa musim durian di Malaysia adalah baik ketika ini dan terdapat banyak bekalan untuk memenuhi permintaan pasaran asing dan domestik.
Disebabkan permintaan, orang-orang di China juga mula menanam pokok durian.
Ia mempunyai kawasan persekitaran yang sangat baik, tanah dan iklim tropika setanding dengan negara-negara berkembang di Asia Tenggara.
Bagaimanapun, ia mengambil masa antara lapan dan 10 tahun untuk pokok durian matang walaupun ada teknologi yang tersedia untuk mengurangkan tempoh masa. – 30 Ogos, 2019.
Komen