Tiada kekosongan dalam Kabinet buat masa ini, kata Dr Mahathir 


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada sidang media yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Ogos, 2019.

DR Mahathir Mohamed membayangkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim tidak akan menjadi anggota Kabinet dalam perubahan kecil portfolio jemaah menteri kerana tiada kekosongan buat masa ini.

Perdana menteri berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita yang bertanyakan sama ada beliau akan membawa masuk Anwar ke Kabinet.

“Kami tidak bincang perubahan atau pertambahan anggota Kabinet, malah tiada juga perbincangan mengenai pertukaran portfolio anggota Kabinet,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Putrajaya hari ini.

“Oleh kerana tiada siapa membayangkan mahu meletakkan jawatan (menteri), kita tidak ada kekosongan. Apabila ada kekosongan, kita akan cari calon yang sesuai,” katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Minggu lalu, Dr Mahathir menafikan laporan bahawa akan berlaku rombakan Kabinet melibatkan pengguguran jawatan menteri tetapi sebaliknya berkata beberapa perubahan portfolio akan dilakukan. – Bernama, 29 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen