AMERIKA Syarikat (AS) sedia membantu memadam kebakaran hutan di Amazon dengan syarat ia membabitkan kerjasama dengan kerajaan Brazil, kata Presiden Donald Trump.
Isnin lalu, negara anggota G7 iaitu Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Italy, Jepun dan AS menyalurkan AS$20 juta (18 juta euro) untuk memadam kebakaran hutan hujan terbesar di dunia itu.
“AS sedia membantu Brazil dalam usaha memadam kebakaran di Amazon,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Garrett Marquis di Twitter semalam.
Bagaimanapun, pentadbiran Trump mahu pelan yang melibatkan perbincangan dengan kerajaan Brazil, tambahnya.
“Kami tidak setuju dengan inisiatif G7 yang gagal menyertakan rundingan dengan @jairbolsonaro. Cara paling konstruktif ialah membantu usaha Brazil dengan kerjasama kerajaan Brazil.”
Presiden Brazil Jair Bolsonaro pada Selasa menolak tawaran G7 dan berkata beliau sedia menerima bantuan jika Presiden Perancis Emmanuel Macron menarik balik kenyataan “menghina” sebelum mengubah fikiran Brazil akan menerima bantuan asing dengan syarat ia mengawal dana tersebut.
Tetapi semalam, Bolsonaro menuduh Perancis dan Jerman “membeli” kedaulatan Brazil dan tidak pasti sama ada negaranya akan menerima bantuan kewangan tersebut.
Macron menuduh Bolsonaro berbohong mengenai usahanya terhadap perubahan iklim dan berjanji akan menyekat perjanjian perdagangan Kesatuan Eropah-Mercosur membabitkan Brazil.
Walaupun 60 peratus Amazon terletak di Brazil, kebakaran hutan yang berlaku merebak ke negara atau wilayah lain di Amerika Selatan.– AFP, 29 Ogos, 2019.
Komen