Presiden Venezuela cadang wujudkan rundingan tetap kerajaan, pembangkang


Presiden Venezuela Nicolas Maduro berkata mekanisma itu bagi membolehkan dialog dan rundingan dapat dijalankan secara tetap untuk tangkis masalah dalam apa jua situasi. – Gambar EPA, 29 Ogos, 2019.

PRESIDEN Venezuela Nicolas Maduro mencadangkan diwujudkan mekanisma rundingan secara tetap antara parti pemerintah dengan pihak pembangkang yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata mekanisma itu bagi membolehkan dialog dan rundingan dapat dijalankan secara tetap untuk menangkis sebarang masalah yang berlaku dalam apa jua situasi.

Maduro berkata demikian semasa ditemu bual oleh agensi berita Xinhua baru-baru ini.

Presiden itu turut mencadangkan kedua-dua pihak berunding mengenai masalah utama yang dihadapi Venezuela dan “mencari penyelesaian yang dipersetujui secara bersama.”

Menurutnya, dialog adalah satu-satunya cara untuk mengatasi kebuntuan politik di Venezuela.

Kerajaan Venezuela telah meneruskan dialog dengan pembangkang, yang sebelum ini enggan mengadakan sebarang rundingan sebagai membantah sekatan AS.

Pemimpin pembangkang Juan Guaido pada Januari enggan mengiktiraf kepemimpinan Maduro, dan mengumumkan dirinya sebagai “presiden sementara”, mencetuskan krisis berterusan di  negara itu.  – Bernama, 29 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen