KUMPULAN pecah rumah dan kedai dikenali “Geng Beliak” yang aktif sejak tahun lepas di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya empat orang anggotanya Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor hari ini berkata, keempat-empat lelaki yang berumur antara 24 dan 32 tahun itu ditangkap ketika cuba menjual peralatan elektronik hasil curi mereka di sebuah rumah di Pengkalan Batu, Tasek Gelugor dekat Kepala Batas antara pukul 6.00 petang dan 8.00 malam.
“Polis turut menyerbu sebuah stor di Pengkalan Batu Isnin lepas dan merampas barangan elektronik dan pelbagai jenis rokok yang keseluruhannya bernilai RM30,000 dipercayai hasil curi kumpulan itu selain peralatan dipercayai digunakan untuk memecah masuk bangunan,” katanya pada sidang akhbar di Kepala Batas.
Beliau berkata kumpulan itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya sembilan kes pecah rumah di sekitar SPU dan ketua kumpulan yang berusia 31 tahun mempunyai tujuh rekod lampau manakala dua lagi rakannya mempunyai satu hingga empat rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.
“Semua mereka tidak bekerja dan positif dadah itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah atau kedai,” katanya. – Bernama, 29 Ogos, 2019.
Komen