POLIS Seberang Perai Tengah (SPT) percaya dapat menyelesaikan 10 kes pecah rumah yang berlaku di Bukit Mertajam sejak tiga bulan lepas dengan tertangkapnya sepasang kekasih semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid hari ini berkata lelaki berumur 37 tahun itu ditahan di Bukit Tengah sementara teman wanitanya, seorang warga Indonesia berumur dalam lingkungan 30-an ditangkap di Juru.
“Mereka mengaku terlibat dalam beberapa kejadian pecah rumah di sekitar Bukit Mertajam, dengan kes yang terbaru berlaku di Taman Seri Juru minggu lepas melibatkan kerugian kira-kira RM4,000,” katanya di Bukit Mertajam.
Dalam kes lain, seorang lelaki berumur 22 tahun ditahan kerana membuat laporan palsu yang kononnya dia disamun tiga lelaki bersenjatakan pisau dan kayu di Taman Nirwana di Bukit Mertajam pukul 1.30 pagi semalam.
Katanya lelaki yang bekerja sebagai jurujual itu pada mulanya mendakwa kehilangan wang tunai RM2,200, telefon pintar dan beberapa barangan peribadi lain akibat kejadian itu kemudiannya mengaku membuat laporan berkenaan kerana mahu meminjam wang dari ahli keluarganya.
“Dia kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan berhadapan hukuman penjara hingga enam bulan, denda RM2,000 atau kedua-keduanya jika disabitkan kesalahan,” katanya. – Bernama, 29 Ogos, 2019.
Komen