Korea Selatan, Jepun cari jalan baiki hubungan diplomatik


Pertemuan antara Menteri Kebudayaan Korea Selatan Park Yang-woo dan rakan sejawatnya dari Jepun, Masahiko Shibayama, dijadualkan berlangsung pada Khamis tengah hari di sebuah pusat konvensyen di Incheon. – Gambar EPA, 29 Ogos, 2019.

MENTERI kebudayaan Korea Selatan dan Jepun dijangka mengadakan pertemuan dua hala pada Khamis bagi membincangkan kerjasama dalam bidang kebudayaan di tengah-tengah pertikaian perdagangan dan diplomatik yang memuncak antara kedua-dua negara, lapor agensi berita Yonhap.

Pertemuan antara Menteri Kebudayaan Korea Selatan Park Yang-woo dan rakan sejawatnya dari Jepun, Masahiko Shibayama, dijadualkan berlangsung pada Khamis tengah hari di sebuah pusat konvensyen di Incheon, diatur di luar mesyuarat tahunan menteri-menteri kebudayaan dan pelancongan Korea Selatan, Jepun dan China.

Berlangsung ketika kedua-dua negara jiran itu terjerumus dalam kancah pertikaian diplomatik yang dianggap antara paling buruk, menteri terbabit dijangka membincangkan langkah untuk mempertingkat kerjasama bagi segmen budaya dalam usaha mencari jalan merungkai kekusutan dua hala itu.

Sejak Jepun mengenakan sekatan terhadap eksport bahan penting berteknologi tinggi Korea Selatan bulan lepas, hubungan dua hala memburuk secara mendadak.

Minggu lepas, Seoul memutuskan untuk memansuhkan Perjanjian Maklumat Ketenteraan Untuk Keselamatan Awam (GSOMIA) dengan Jepun, satu pakatan dua hala yang membolehkan kedua-dua negara berkongsi risikan ketenteraan yang sensitif dalam mendepani ancaman senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Langkah itu disusuli penyingkiran rasmi Korea Selatan daripada senarai putih rakan kongsi perdagangan yang dipercayai Jepun, menyebabkan hubungan dua hala terus menjunam.

Juga pada Khamis, Park dijadualkan duduk berbincang dengan rakan sejawatnya dari China, Luo Shugang.

Menteri-menteri kebudayaan Jepun dan China akan turut mengadakan mesyuarat dua hala berasingan pada hari sama.

Mesyuarat tiga hala menteri-menteri kebudayaan dan pelancongan itu, yang berlangsung di Songdo Convensia selama tiga hari, bakal menyaksikan perbincangan kerjasama kebudayaan dan meneruskan pembangunan bersama pelancongan negara-negara jiran.

Hari kedua persidangan pada Jumaat bakal membabitkan dua cara utama iaitu mesyuarat tiga hala menteri-menteri kebudayaan dan pelancongan ketiga-tiga negara.

Korea Selatan menegaskan bahawa hubungan kebudayaan dengan Jepun harus dipisahkan daripada ketegangan perdagangan dan diplomatik kedua-dua negara selain menggesa agar kerjasama dan pertukaran dari segi kebudayaan diteruskan dengan Jepun. – Bernama, 29 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen