SEKUMPULAN pemandu teksi yang marah telah memecah masuk beberapa kedai milik rakyat asing dan mencuri barangan di dalamnya sebelum bertindak membakar premis terbabit di ibu kota Afrika Selatan pada Rabu selepas seorang rakyat asing didakwa membunuh rakan mereka sehari sebelum itu, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Insiden itu berlaku ketika rusuhan yang menyaksikan pemandu teksi turun ke jalanan di Pretoria pada Selasa untuk berdepan dengan pengedar dadah apabila seorang rakyat Nigeria melepaskan tembakan dan menyebabkan seorang pemandu teksi maut.
Pada pagi esoknya, kumpulan pemandu teksi itu disertai perusuh yang terdiri daripada penduduk Afrika Selatan lain mula bertindak memecah masuk dan mencuri barangan di dalam kedai milik rakyat asing, terutama dari Nigeria.
‘‘Saya telah mengarahkan para pegawai saya untuk melakukan siasatan rapi terutama pihak yang terlibat dalam jenayah semasa rusuhan ini seperti memecah masuk dan mencuri barangan dalam kedai serta membakar bangunan,” kata Pesuruhjaya Polis Gauteng Leftenan Jeneral Elias Mawela kepada pemberita di Pretoria.
Polis berkata sekurang-kurangnya tujuh kedai telah dibakar manakala beberapa lagi dipecah masuk dan barangan dicuri.
Polis melepaskan tembakan peluru getah dan bom tangan gegaran atau stun grenad bagi menenangkan keadaan ketika beberapa kumpulan pemandu teksi mengancam untuk menyerang dan menggantung pemilik kedai rakyat asing di ibu kota itu.
Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran ketika penduduk dilihat mengangkut barang dari kedai terbabit termasuk barangan runcit dan peralatan elektrik.
Awal bulan lepas, perusuh di Afrika Selatan bertindak memecah masuk dan mencuri barangan beberapa kedai milik rakyat asing di pinggir Johannesburg, bandar terbesar di negara itu, selepas mendakwa orang asing tidak menghormati undang-undang tempatan, kata polis pada masa tersebut.
Beberapa kedai milik rakyat asing di perbandaran Soweto turut dipecah masuk susulan insiden itu.
Beberapa pemilik kedai rakyat asing mengutuk tindakan itu dan berkata mereka telah kehilangan segalanya.
“Kami sudah bosan dianiaya. Apabila seorang rakyat asing melakukan kesalahan, kami dihukum secara kolektif. Ini adalah sesuatu yang tidak adil,” kata Malik Majid yang merupakan seorang peniaga tempatan kepada Anadolu.
Polis berkata mereka sedang memantau situasi itu dan telah menghantar petugas ke kawasan yang dilanda kekacauan. – Bernama, 29 Ogos, 2019.
Komen