PUTRAJAYA perlu mengakui kegagalannya menyatukan negeri-negeri dalam persekutuan yang menjadi punca ramai penduduk Sarawak dan Sabah mendapatkan status pelarian di Australia, kata aktivis hak Borneo Lina Soo.
Lina yang juga presiden Parti Reformasi Negeri (Star) berkata, sebab mengapa terdapat 33,000 warga Malaysia dilaporkan mendapatkan status pelarian di Australia- kebanyakannya adalah penduduk Sarawak dan Sabah- adalah kerana mereka melarikan diri daripada “persekutuan yang gagal”.
“Adakah Putrajaya ada jawapan mengapa ramai sangat generasi muda Malaysia yang melarikan diri dari negara ini untuk menjadi pelarian di Australia atau ia seperti burung unta yang memilih menanam kepalanya dalam pasir,” kata Soo yang memimpin parti yang mendesak Sarawak diberikan autonomi penuh pentadbiran.
Katanya, janji Putrajaya untuk menyakinkan penduduk Sarawak dan Sabah untuk memberikan hak kebebasan dan mentadbiri sendiri sebagai balasan kepada keamanan dan kemakmuran bersama tidak dipenuhi.
Ia menyebabkan mereka hilang harapan dan sengsara, tambahnya.
Beliau merujuk kepada kenyataan terbaru Pesuruhjaya Tinggi Australia Andrew Goledzinowski yang rakyat Malaysia adalah kumpulan terbesar negara yang memohon status pelarian di negara itu.
Kata Soo lagi, kegagalan kerajaan persekutuan untuk memenuhi janji menjadi sebuah negara sekular pelbagai budaya, autonomi, kebebasan agama, pembangunan, kemajuan sosial dan kemakmuran sejak penubuhan persekutuan 56 tahun lalu menyebabkan rasa tidak puas hati penduduk Sarawak dan Sabah.
Kedua-dua negeri Borneo itu, katanya lagi, sudah disahkan Bank Dunia sebagai dua negeri termiskin dalam persekutuan.
Beliau juga memetik laporan terbaru PBB yang menyatakan kadar kemiskinan Sarawak lebih tinggi daripada purata nasional, malah negeri itu juga berdepan masalah hak asasi yang kritikal dalam penjagaan kesihatan, pendidikan, tanpa warganegara, hak tanah dan pelbagai lagi pembangunan sosial lain.
Seorang penyelidik bebas juga mendedahkan tujuh daerah di Sarawak- Pakan, Lubok Antu, Song, Kanowit, Selangau, Simunjan dan Daro- tersenarai dalam 10 daerah termiskin di seluruh Malaysia. – 29 Ogos, 2019.
Komen