MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan pihak pendakwaan menyerahkan semua dokumen pra bicara kepada Najib Razak dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy, yang akan berdepan pertuduhan bersama kerana didakwa mengubah laporan audit dana kekayaan negara itu.
Hakim Mohd Zaini Mazlan juga mengarahkan pendakwaan menyediakan dokumen bukti dan keterangan saksi.
“Saya tak mahu keterangan saksi diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum bicara,” katanya yang menetapkan pendengaran kes pada 7 Oktober.
“Saya harap dokumen akan disediakan, dan dalam apa keadaan diberikan kepada kedua-dua tertuduh. Saya mahu dokumen disediakan sebulan sebelum perbicaraan bermula untuk membolehkan tertuduh bersedia sebaik mungkin.”
Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria berkata pendakwaan akan mematuhi arahan itu.
Najib dan Arul Kanda masing-masing diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah dan N Sivananthan.
Shafee memaklumkan mahkamah bahawa Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar kes SRC International Najib menetapkan 11 November untuk penghakiman dikeluarkan.
Perbicaraan mengubah laporan audit 1MDB ditetapkan pada 18 sehingga 29 November dan 13 sehingga 17 Januari tahun depan.
Zaini berkata sekiranya Nazlan memutuskan wujud “prima facie” terhadap Najib dalam kes SRC International, kes boleh diteruskan pada Disember.
Shafee mewakili Najib dalam tiga kes berbeza.
“Saya bersimpati dengan pembelaan…bagaimanapun saya percaya tidak boleh ada penangguhan dan kita perlu ikut tarikh ditetapkan,” kata hakim.
Pendakwaan akan memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan sepanjang 15 hari perbicaraan.
Najib didakwa pada 12 Disember tahun lepas kerana menyalah guna kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat ke atas laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Parlimen (PAC) antara 22 sehingga 26 Februari 2016.
Pendakwaan menuduh beliau berbuat demikian untuk mengelak sebarang tindakan displin, sivil atau jenayah terhadapnya berkaitan salah laku 1MDB.
Arul Kanda dituduh bersubahat dengan bekas perdana menteri itu. – 29 Ogos, 2019.
Komen