Pelumba wanita terpantas dunia maut kemalangan


Jessi Combs, 39, mendapatkan gelaran “wanita terpantas” pada 2013 apabila kereta dipandunya mencapai kelajuan 641 kilometer sejam, dan polis berkata kemalangan maut itu berlaku ketika beliau “cuba memecah” rekodnya sendiri. – Gambar AFP, 29 Ogos, 2019.

PELUMBA Jessi Combs, dianggap “pemandu kereta wanita terpantas” terbunuh dalam satu kemalangan ketika cuba memecah rekodnya sendiri, kata polis semalam.

Kereta Combs terhumban pada Selasa di Padang Pasir Alvord, beliau diumumkan terbunuh di tempat kejadian, kata pegawai negeri Oregon dalam satu kenyataan.

Combs, 39, mendapatkan gelaran “wanita terpantas” pada 2013 apabila kereta dipandunya mencapai kelajuan 641 kilometer sejam, dan polis berkata kemalangan maut itu berlaku ketika beliau “cuba memecah” rekodnya sendiri.

“Jessi Combs diumumkan terbunuh di tempat kejadian,” kata kenyataan Pejabat Sherif Daerah Harney. “Punca kemalangan masih tidak diketahui dan siasatan masih berjalan.”

Combs yang turut muncul dalam pelbagai rancangan TV AS, sebelum ini cuba memecah rekodnya pada Oktober.

Menurut media, beliau dilaporkan percaya mencecah kelajuan 777 kilometer sejam, tetapi masalah mekanikal menyebabkan rekod itu tidak diiktiraf.

Beliau dijangka mencapai kelajuan lebih tinggi pada Selasa lalu.

Combs, seorang mekanik berpengalaman lluas, mencabar dirinya untuk memecah rekod seorang ahli stunt wanita Amerika, Kitty O’neil pada 1976 untuk mendapatkan gelaran wanita terpantas dunia, yang dicipta dengan kelajuan 823 kilometer sejam. – AFP, 29 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen