SEKURANG-KURANGNYA tujuh orang maut semalam apabila tebing sungai pecah dan airnya melimpah masuk ke dalam sebuah padang bola sepak ketika pertandingan sedang dijalankan di selatan Maghribi.
Mangsa termasuklah seorang budak lelaki berusia 17 tahun dan enam lelaki warga emas yang sedang menonton pertandingan itu di Tizert, daerah Taroudant.
Penyelamat berjaya menyelamatkan seorang lagi lelaki yang cedera dan masih mencari seorang yang masih hilang, kata pegawai.
Air sungai melimpah masuk dan membanjiri padang tempat pertandingan bola sepak amatur itu dijalankan, kata penduduk kepada AFP.
Lapan lelaki yang bersembunyi dalam bilik persalinan dibawa arus deras, kata saksi bercakap atas dasar kerahsiaan.
“Saya terkejut. Saya berusia 64 tahun dan tak pernah nampak banjir sederas itu,” kata saksi.
Gambar dan video dikongsi di media sosial menunjukkan air berlumpur menghanyutkan orang ramai yang naik ke bangunan tinggi yang ditenggelami banjir.
Perkhidmatan kaji cuaca Maghribi sudah mengeluarkan amaran tentang ribut kencang pada tengahari semalam di beberapa daerah.
Hujan lebat berlaku selepas musim kemarau, menjadikan banjir lebih ganas, kata media tempatan.
Banjir biasa berlaku di negara itu. Pada hujung Julai lepas, 15 orang maut dalam tanah runtuh disebabkan banjir kilat di selatan Marrakesh.
Pada 2014, banjir membunuh sekurang-kurangnya 50 orang dan menyebabkan kerosakan teruk di selatan negara itu.
Kajian dikeluarkan pada 2015 mendedahkan kegagalan infrastruktur, pencegahan dan pengurusan kecemasan dan amaran memburukkan keadaan. – AFP, 29 Ogos, 2019.
Komen