BEKAS setiausaha politik Najib Razak, Wong Nai Chee dan ketua Bahagian Umno Batu Kawan Mohd Noor Ahmad dijangka memberi keterangan hari ini yang mereka menerima RM346,000 melalui cek daripada bekas perdana menteri.
Kedua-duanya dinamakan dalam senarai saksi pendakwaan yang disediakan kepada wartawan semalam.
Wong sudah memberi keterangan semasa perbicaraan SRC International, juga kerana menerima cek daripada Najib.
Hari ini, Wong dijangka bercakap mengenai pengendalian cek bernilai RM246,000 yang dikaitkan dengan dakwaan pengubahan wang haram terhadap Najib, di mana mereka dituduh membayar ahli perniagaan Lim Soon Peng menerusi cek AmIslamic Bank bertarikh 7 Ogos 2013.
Wong yang merupakan ahli MCA, juga mengendalikan pembayaran kepada Lim berjumlah RM238,914 untuk membantu membiayai propaganda pro-Barisan Nasional dalam talian yang disasarkan kepada kepada pengundi Cina, salah satunya laman Facebook “Ah Jib Gor”.
Mohd Noor dijangka memberi keterangan yang beliau menerima cek RM100,000, bertarikh 7 Ogos 2013.
Semalam, seorang perunding media digital memberi keterangan syarikatnya, Orb Solutions, menerima cek RM2 juta, bertarikh 12 Ogos 2013 untuk membantu operasi dana menguruskan imej dalam talian Najib.
Noorhaina Diarwani Mohd Nor memberitahu mahkamah pada 2008, pegawai Najib, Amhari Efendi Nazaruddin menawarkan kepadanya menjalankan satu pasukan kontraktor untuk melakukan komunikasi digital bagi timbalan perdana menteri ketika itu, kerana agensi kerajaan perlahan dalam menerima pakai komunikasi digital.
Tiga saksi juga sudah memberi keterangan: Farizah Ahmad, timbalan setiausaha di Pejabat Perdana Menteri dan akauntannya Natasha Rahimah Haryati Mohamad serta kakitangan Parlimen Farah Nurdiana Azhar.
Natasha mengesahkan gaji bulanan Najib sebagai perdana menteri ialah RM58,605.15.
Beliau juga berkata Najib menerima pembayaran khas sebanyak RM1 juta selepas melepaskan jawatan perdana menteri pada Mei 2018, sebagaimana ditetapkan undang-undang.
Pada awal prosiding semalam, timbalan pendakwa raya khas Gopal Sri Ram menuduh Najib bekerja dengan “alter ego” beliau, Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, untuk merompak 1MDB.
“Selepas skandal 1MDB terbongkar pada awal Julai 2015, tertuduh dengan Jho Low mengambil langkah untuk menutup jejaknya. Dokumen palsu dihasilkan untuk menunjukkan ia kononnya derma daripada putera Arab,” kata Sri Ram dalam kenyataan pembukaan.
“Jika anda meletakkan tertuduh di depan cermin, anda akan melihat Jho Low. Dan jika anda meletakkan Jho Low di depan cermin, anda akan melihat tertuduh.”

Najib berdepan 25 tuduhan - empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh RM2.3 bilion dan 21 lagi tuduhan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan jumlah yang sama. Beliau berdepan hukuman 20 tahun penjara jika didapati bersalah.
Najib diwakili sepasukan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.
Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, mengetuai pendakwaan sementara hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah mendengar perbicaraan.
The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
4.50pm: Hakim Sequerah menangguhkan prosiding hari ini. Saksi sama akan menyambung beri keterangan pada Selasa depan jam 9.30 pagi.
4.04pm: Shafee memecahkan kebosanan proses pengesahan dokumen dengan bercakap kepada Hakim Sequerah. Beliau bertanya sekiranya hakim boleh mempertimbangkan prosiding ditangguh pada jam 4.30 petang hari ini. Sequerah mengarahkan prosiding ditangguh jam 4.45 petang.
2.43pm: Prosiding bersambung. Rafidah mengesahkan dokumen 1MDB dan dan anak syarikatnya.
12.58pm: Mahkamah berhenti rehat dan akan disambung semula jam 2.30 petang dengan saksi No. 7.
12.16pm: Rafidah berkata beliau menyerahkan dokumen itu kepada Farid pada hari yang sama.
Mereka meneleti setiap dokumen untuk mengemukakannya sebagai bukti.
12.07pm: Mahkamah bersambung selepas berhenti rehat sebentar. Saksi No. 7 Rafidah Yahya, 48, adalah penolong pendaftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Beliau berkata pada 28 Mei 2018, seorang pegawai SPRM bernama Farid Ismail datang ke SSM untuk meminta dokumen mengenai 1MDB, yang sebelum ini dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA).
11.25am: Saksi dibenarkan keluar dari kandang saksi.
11.12am: Shafee memulakan sesi soal balas.

11.10am: Wang itu digunakan untuk kerja amal di Batu Kawan, kata Mohd Noor.
11.07am: Mohd Noor berkata beliau memberitahu Najib yang Umno Batu Kawan kekurangan dana pada 2013, selepas itu bekas presiden parti mengeluarkan cek bernilai RM100,000 kepada beliau.
11:01am: Saksi nombor 6 dipanggil. Ketua Bahagian Umno Batu Kawan, Mohd Noor Ahmad mengambil tempat di kandang saksi.
10:59am: Saksi dibenarkan keluar dari kandang saksi.
10.47am: Shafee mencadangkan istilah itu adalah cara untuk menjadikan Najib lebih “relatable”. Beliau berkata nama samaran Abdullah Ahmad Badawi adalah “Pak Lah” dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dikenali sebagai “Che Det”.
10.43am: Wong berkata Najib adalah seorang yang bersikap terbuka.
Halaman Facebook “Ah Jib Gor” merujuk kepada “Brother Najib”. Wong berkata ia diwujudkan untuk berkomunikasi dengan rakyat.
10.26am: Wong memberitahu Shafee bahawa Najib mempunyai tiga setiausaha politik, termasuk dirinya sendiri.
Bagi aktiviti yang melibatkan akar umbi, Lim adalah orang hubungan kerana beliau boleh menggerakkankan akar umbi, kata Wong kepada Shafee.
Lim mempunyai hubungan dengan kumpulan masyarakat sivil Cina dan boleh menyampaikan mesej pro-BN kepada akar umbi.
10.25am: Shafee memulakan soal balasnya.
10.24am: Sri Ram menamatkan sesi menyoal.
10.20am: Terdapat persepsi negatif terhadap kerajaan di kalangan orang Cina dan mereka perlu mengubahnya.
Wong berkata Najib juga mengeluarkan satu lagi cek bertarikh 31 Januari 2012 untuk membayar seorang penganalisis politik.
Beliau menunaikannya dan membuat pembayaran kepada penganalisis.
(Kedua-dua cek berjumlah RM238,914)
10.19am: Kedua-dua syarikat menyebarkan artikel mengenai dasar kerajaan dan ekonomi yang menumpukan kepada masyarakat Cina.
Wong berkata kerajaan melakukan banyak kebaikan tetapi tidak mendapat perhatian.
10.15am: Wong berkata wang yang diberikan kepada Lim kemudiannya disalurkan kepada dua pihak: Akademi Kewartawanan & Informasi Taima dan AD Network.
Dua entiti ini bekerja untuk Najib, khususnya akaun Facebook “Ah Jib Gor”.
Ketika ditanya mengapa Najib tidak membayarnya secara langsung, Wong memberitahu mahkamah ia akan membahayakan imej Najib jika tersebar di media sosial beliau membayar kedua-dua syarikat tersebut. Oleh itu, Lim digunakan sebagai proksi.
10.11am: Sri Ram memperlihatkan Wong cek, yang dikatakan diberi oleh Najib dan kemudian diserahkan kepada Lim.
10.07am: Wong adalah setiausaha politik Najib pada 2011, yang mnejadi perdana menteri ketika itu.
Sri Ram bertanya kepadanya jika beliau tahu mengenai Lim Soon Peng, dan beliau menjawab “ya”.
Lim bertanggungjawab terhadap kumpulan akar umbi untuk perdana menteri, kata Wong.
Taikun Lim adalah individu di belakang laman Facebook “Ah Jib Gor”.
10.06am: Gopal Sri Ram memanggil saksi No. 5, bekas ahli Parlimen Kota Melaka Wong Nai Chee, yang merupakan penasihat Najib dalam urusan hal ehwal orang Cina.
10.05am: Mahkamah bersidang.
9.56am: Peguambela dan pendakwaan bersama Najib duduk di dalam bilik menunggu Sequerah memulakan perbicaraan hari kedua 1MDB. – 29 Ogos, 2019.
Komen