Turki cari 'alternatif' ganti jet pejuang F-35 milik AS


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan bersama rakan sejawatannya Vladimir Putin semasa lawatan rasminya ke Rusia. – Gambar EPA, 29 Ogos, 2019.

SEHARI selepas berjanji bekerjasama dalam bidang pertahanan yang lebih rapat dengan Rusia, Turki berkata pada Rabu ia akan mencari “alternatif” bagi program jet pejuang F-35 Amerika Syarikat.

Washington berkata bulan lalu, Turki akan dibatalkan daripada program F-35 selepas Ankara membeli sistem pertahanan udara Rusia S-400.

“Kita memerlukan jet pejuang. Jika kita tidak boleh membeli F-35, kita akan mencari alternatif baru,” kata agensi berita rasmi, Anadolu, memetik kenyataan Menteri Luar Negeri Mevlut Cavusoglu di Tallinn di Estonia.

Turki mengecam langkah “tidak adil” AS kerana menyingkirkannya daripada program Fighter Strike Fighter.

White House berkata berkata jet itu tidak boleh dintegrasikan dengan platform perisikan Rusia yang akan digunakan untuk mengkaji mengenai keupayaan teknologinya.

Turki mengatakan ia merancang untuk menggunakan sistem pertahanan roket S-400 menjelang April 2020. Fasa kedua penghantaran bermula Selasa.

Ankara telah menempah lebih 100 jet F-35 dan industri pertahanannya melabur sejumlah peruntukan yang besar dalam pembangunan pesawat.

Pada Selasa, Presiden Recep Tayyip Erdogan bertemu dengan rakan sejawatannya, Vladimir Putin di pameran udara antarabangsa MAKS, pameran bagi industri aeroangkasa tentera dan awam Rusia.

Putin berkata beliau dan Erdogan sudah membincangkan mengenai lanjutan kerjasama ketenteraan, termasuk jet pejuang Sukhoi Su-35 Rusia, sementara pemimpin Turki menyatakan kesediaan Ankara untuk meneruskan kerjasama dalam aspek pertahanan. – AFP, 29 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen