Pemergian Kassim Ahmad disifatkan sebagai satu kehilangan besar negara


Yasmin Ramlan Melati A. Jalil

Pengerusi IRF, Dr Farouk Musa berkata kelantangan Kassim Ahmad dalam menentang penguatkuasa agama akan diingati. – gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2017.

MALAYSIA telah kehilangan seseorang yang hebat, kata peguam Siti Kasim berikutan pemergian cendekiawan dan intelektual Melayu Dr Kassim Ahmad.

Siti berkata, penulis berusia 84 tahun itu merupakan antara yang terawal melahirkan pandangan berbeza berbanding orang Islam lain di negara ini.

“Saya sangat sedih mengenai pemergiannya. Kita telah kehilangan seseorang yang hebat. Beliau tidak dapat ditukar ganti. Tiada siapa yang lebih bagus daripadanya dalam mencabar penguatkuasa agama, tidak ramai seperti Kassim Ahmad.

“Kita perlukan lebih ramai orang seperti beliau untuk mencabar pemikiran orang Islam, supaya berfikiran terbuka. Ia satu kehilangan besar. Pak Kassim adalah tokoh yang perlu kita contohi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kassim yang merupakan anak jati Kedah dikenali sebagai pemikir Islam yang lantang dan berani menyuarakan pandangannya yang melawan pemikiran arus perdana Islam. Beliau juga terkenal sebagai seorang tabah dan cekal, dalam meneruskan perjuangan melawan pihak berkuasa agama pada hujung usianya.

Hanya dua bulan lalu, beliau menang kes selepas tiga tahun naik turun mahkamah menentang pihak berkuasa agama kerana dituduh menghina Islam dan ingkar fatwa yang dikeluarkan di Wilayah Persekutuan, berhubung satu kenyataan yang dibuatnya dalam satu seminar pada Februari 2014.

Siti berkata, pemergian Kassim bukan sahaja dirasai oleh umat Islam di negara ini tetapi juga oleh seluruh masyarakat.

“Walaupun ditahan, dicerca oleh orang ramai, beliau meneruskan perjuangannya dalam usaha supaya orang ramai membaca dan mengkaji pentafsiran semula Islam. Ia juga membantu masyarakat lain mengenai kebaikan di dalam Islam,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi badan pemikir Islam progresif Islamic Renaissance Front (IRF), Dr Farouk Musa berkata, Kassim merupakan tokoh Islam intelektual yang dianiaya di negara ini.

Dr Farouk berkata, kelantangannya dalam menentang penguatkuasa agama akan diingati.

“Tiada siapa pada umur beliau ketika beliau masih hidup dilayan begitu kasar oleh penguatkuasa agama, hanya kerana menyuarakan pandangannya.

“Sama ada kita setuju atau tidak mengenai pandangannya dalam sesetengah isu, itu adalah satu perkara yang berbeza, tapi beliau perlu dihormati kerana bertegas mempertahankan pandangannya terhadap badan penguatkuasa agama di negara ini,” katanya.

Ahli politik veteran Dr Syed Husin Ali turut senada dengan Siti, yang merasakan pemergiannya merupakan kehilangan besar terhadap negara.

“Satu kehilangan besar kepada negara. Seorang intelek yang banyak sumbangan kepada sastera, politik dna ilmu pada umumnya,” katanya.

Kassim yang baru sahaja menyambut hari jadinya yang ke-84, meninggal dunia pada pukul 10 pagi tadi di Hospital Besar Kulim. Allahyarham tidak sedarkan diri di hospital itu sejak semalam.

Anak lelakinya Ahmad Shauqi Kassim mengesahkan pemergian bapanya kepada The Malaysian Insight.

Kassim, yang pernah dilabel sebagai anti hadis dan menentang pihak berkuasa agama, dimasukkan ke wad sejak bulan lalu kerana masalah paru-paru.

Kassim meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki, dua anak perempuan dan 11 orang cucu. – 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen