Jangan tangguh tubuh suruhanjaya bebas Orang Asli, kata Suhakam 


Noel Achariam

Orang Asli masih berdepan masalah berhubung hak asasi bagi tanah adat serta kebajikan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2019.

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa Putrajaya agar tidak menangguhkan penubuhan satu suruhanjaya bebas untuk Orang Asli berikutan hak mereka diabaikan.

Penubuhan suruhanjaya itu merupakan salah satu daripada 18 cadangan yang dihantar Suhakam kepada Putrajaya pada Februari selepas kajian dijalankan terhadap isu yang menjejaskan masyarakat itu. 

Othman memberitahu The Malaysian Insight, Suhakam menghabiskan banyak masa menguruskan isu yang dihadapi Orang Asli sejak beberapa tahun namun masih menerima aduan berhubung tanah adat dan kebajikan mereka. 

“Suruhanjaya itu membolehkan cadangan dan pemantauan untuk program pembangunan mampan di tanah mereka, mempromosikan penyertaan di pelbagai peringkat dan menjalankan penyelidikan berhubung isu berkaitan kebajikan mereka. 

“Ahli suruhanjaya itu juga perlu terdiri daripada wakil Orang Asli yang diterima oleh suku mereka sendiri,” kata Othman kepada The Malaysian Insight. 

Antara fungsi suruhanjaya berkenaan adalah untuk memberi nasihat kepada kerajaan mengenai dasar dan undang-undang berkaitan Orang Asli, katanya dan menambah penting untuk Putrajaya melihat segera perkara ini. 

Beliau berkata, Suhakam kini sedang mendekati beberapa kementerian yang berkaitan dan kerajaan negeri berhubung cadangan suruhanjaya ini namun ia tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan.

Sementara itu, masyarakat Orang Asli terus menyatakan masalah mereka, yang mana selain isu hak tanah adat, ia turut menyentuh mengenai agama dan kebajikan mereka. 

Insiden terbaharu yang diketengahkan oleh The Malaysian Insight baru-baru ini melibatkan suku Temiar di Gerik, Perak, yang mendakwa “Islam” ditambah dalam kad pengenalan mereka tanpa kebenaran mereka. 

Penduduk mendakwa mereka tidak pernah memeluk agama Islam, namun mereka diberikan kad pengenalan yang menyatakan mereka adalah orang Islam. 

Mereka membuat rayuan kepada kerajaan untuk mengeluarkan status agama itu dari pada MyKad mereka dan Jabatan Peguam Negara sedang menyelesaikan isu berkenaan. 

Kaum wanita daripada suku berkenaan juga mendakwa mereka dipaksa mengambil suntikan dan pil perancang kehamilan oleh kerajaan. 

Mereka mendakwa mengalami keletihan, selera makan tidak terkawal dan kejang kaki selepas mengambil kontraseptif itu. 

Othman berkata, mereka turut memaklumkan Putrajaya berhubung ancaman yang sering dihadapi Orang Asli berhubung isu hak tanah. 

“Kami telah menjalankan program kesedaran dan masih menerima banyak aduan berhubung pelanggaran hak asasi ini.

“Kementerian berkaitan perlu menyiasat dan mencari fakta. Mereka berdepan banyak isu dan tiada undang-undang dan dasar mencukupi untuk melindungi mereka. 

“Kerajaan perlu melihat isu mereka dengan serius,” katanya.

Othman berkata, kesukaran mereka untuk mendapat pengiktirafan bagi tanah adat daripada kerajaan sentiasa menjadi cabaran besar kepada Orang Asli. 

“Putrajaya perlu halang kehilangan lebih banyak tanah adat di masa akan datang, penyelesaian untuk tanah dan menyelesaikan isu pembangunan tanah. 

“Mereka perlu iktiraf tanah adat Orang Asli dan memberi perhatian kepada isu itu.”

Katanya, bidang kuasa berhubung tanah jatuh di bawah kuasa kerajaan negeri namun dasar negeri yang ada tidak memberi pengiktirafam kepada tanah adat Orang Asli. 

“Bagaimanapun, terdapat beberapa keputusan mahkamah yang memihak kepada Orang Asli dan ini telah menunaikan harapan mereka,” kata Othman.

“Kerajaan baru harus menggunakan kes mahkamah (hak atas tanah) untuk merumuskan undang-undang baru untuk melindungi hak-hak Orang Asli.” – 29 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen