Lebih 200 migran diselamatkan minggu ini 


Kapal Mare Jonio yang dikendalikan sebuah NGO Itali Mediterannea menyelamatkan migran termasuk 22 wanita dan 28 kanak-kanak.– Gambar EPA, 28 Ogos, 2019.

KAPAL amal Itali menyelamatkan kira-kira 100 migran di Laut Mediterranean pada Rabu, menjadikan jumlah kesleuruhan diselamatkan minggu ini lebih 200 orang. 

Kapal Mare Jonio yang dikendalikan sebuah NGO Itali Mediterannea menerusi Twitter berkata, mereka yang diselamatkan termasuk 22 wanita dan 28 kanak-kanak, kebanyakan mereka berusia bawah 10 tahun. 

Organisasi itu berkata pihaknya menunggu arahan daripada pihak Pusat Koordinasi Maritim Itali untuk berlabuh.

Itali telah mengambil tindakan tegas terhadap imigresen dan pernah menghalang sebuah kapal amal daripada berlabuh di pelabuhannya. 

Mare Jonio pernah disiasat oleh Kementerian Dalam Negeri Itali pada Mei lalu kerana didakwa membantu pendatang haram namun kes itu kemudiannya digugurkan. 

Dalam ertikaian terbaharu, Menteri Dalam Negeri Matteo Salvini enggan membenarkan kapal penyelamat dari Jerman yang membawa 100 migran untuk memasuki perairan Itali pada Selasa. 

Kapal Eleonore, yang dikendalikan NGO Jerman, Mission Lifeline berkata pihaknya menemui migran di atas sebuah sampan yang terbalik di Laut Mediterranean pada Isnin. 

Ia dipintas oleh pengawal pantai Libya yang mana menurut NGO berkenaan mereka diugut dan migran akan dihantar pulang ke negara mereka yang bergolak. – AFP, 28 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen