VETERAN DAP Lim Kit Siang bertanya apakah wajar beliau bersara dan melupakan cita-cita Malaysia Baharu, ketika negara ini katanya semakin terbelah akibat salah faham atas isu agama dan kaum, lebih setahun selepas Barisan Nasional disingkirkan dari Putrajaya.
Lim juga melontarkan pertanyaan itu ketika parti yang pernah dipimpinnya kini berdepan krisis keyakinan dalam kalangan penyokongnya sendiri dan Pakatan Harapan (PH).
“Wajarkah saya melupakan Malaysia Baharu dan bersara?” tanyanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam satu kenyataan awal semalam, Lim menyuarakan keyakinannya PH akan menang pilihan raya umum akan datang untuk “meneruskan misi yang belum selesai iaitu membentuk Malaysia Baharu.”
Sebelum kenyataan petang tadi, Lim minggu ini mengadakan dua pertemuan berasingan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi PH dan Bersatu, dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Lim dilaporkan bertemu Dr Mahathir pada Jumaat lepas dan Anwar pada Isnin lalu.
Ketua DAP Johor, Liew Chin Tong yang mendedahkan hal itu di Twitter menulis kedua-dua pertemuan itu membincangkan keadaan semasa negara serta usaha mengukuhkan perpaduan kaum dan negara bangsa.
Katanya, ketiga-tiga pemimpin membincangkan naratif Malaysia Baharu yang perlu diangkat oleh PH, dengan kembali ke garis sederhana yang jauh daripada segala bentuk wacana ekstrem, merujuk kepada isu kaum dan agama sejak kebelakangan ini.
Dalam kenyataannya, Lim sekali lagi menegaskan DAP sama sekali tidak khianat kepada perjuangan asalnya sejak penubuhannya lebih lima dekad lalu, tidak seperti yang digambar oleh pihak tertentu mengenai parti itu sekarang.
Katanya, kalau betul DAP mengkhianati rakyat dan harapan untuk sebuah Malaysia yang baharu, adil dan bersih, rakyat berhak menolak parti itu dan ia tidak akan bangkit semula.
“Tetapi kalau DAP tidak mengkhianati prinsip dan harapan rakyat, masa akan menunjukkan betapa salahnya tanggapan dan kefahaman mereka tentang DAP,” katanya.
DAP berdepan krisis keyakinan penyokongnya selepas terbelit dengan keputusan kerajaan yang disertainya bersama PH, terutamanya dalam isu pengajaran Jawi di sekolah vernakular dan kebenaran operasi kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd di Pahang.
Lim juga mengulangi kenyataannya hairan kenapa dan bagaimana dalam masa dua bulan ini semua kaum di Malaysia boleh rasa terancam antara sama lain, semuanya kesan berita palsu dan ucapan berbaur kebencian. – 28 Ogos, 2019.
Komen