Juruterbang Ryanair Sepanyol rancang adakan mogok 


Mogok diadakan bagi membantah pelan penutupan empat cawangan syarikat penerbangan tambang murah itu yang akan menjejaskan 512 pekerja.– Gambar EPA, 28 Ogos, 2019.

JURUTERBANG Ryanair di Sepanyol merancang untuk mengadakan mogok selama lima hari pada bulan depan sebagai membantah pelan penutupan empat cawangan yang menjejaskan 512 pekerja.

Mogok itu dijalankan susulan daripada mogok sepuluh hari yang dilakukan oleh kru kabin syarikat penerbangan tambang murah itu di Sepanyol.

Kedua-dua protes itu membantah penutupan cawangan Ryanair di Tenerife, Lanzarote, Gran Canaria dan Gerona di timur laut Sepanyol bermula Januari.

Syarikat berkenaan yang mengalami masalah keuntungan sejak 10 bulan lalu, mengumumkan penutupan berkenaan pada Jumaat dan menyatakan ia merupakan “kapasiti berlebihan yang signifikan dalam pasaran Eropah yang kecil”.

Jurucakap kesatuan juruterbang Sepla memberitahu AFP, 120 juruterbang akan kehilangan kerja.

“Mereka tidak mencadangkan untuk pindahkan mereka ke pangkalan lain,” katanya.

Wakil kesatuan dan syarikat dijangka akan mengadakan pertemuan minggu ini.

Sekiranya usaha mediasi itu gagal, mogok akan dilancarkan pada 19, 20, 22, 27 dan 29 September, kata kesatuan itu. – AFP, 28 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen