10 maut hutan di California terbakar


Anggota bomba dilihat berada berhampiran kediaman yang musnah disebabkan kebakaran hutan di Anaheim Hills, California, semalam. Dengan kelajuan angin melebihi 114 kilometer sejam, api yang marak memaksa lebih 20,000 orang berpindah sejak malam Ahad. – Gambar EPA, 10 Oktober, 2017.

SEKURANG-KURANGNYA 10 orang maut dan ratusan lagi cedera dalam kebakaran hutan di San Francisco, Amerika Syarikat, kata pihak berkuasa lapor agensi berita China Xinhua.

Kebakaran bermula malam Ahad di Wine Country di utara San Francisco, memusnahkan hampir 1,500 rumah dan kemudahan komersial, kata Ketua Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California Ken Pimlott.

Keadaan diburukkan lagi dengan tiupan angin kencang selaju 114 kilometer sejam dan memaksa ribuan penduduk terpaksa berpindah.

Santa Rosa bandar terbesar di daerah Sonoma paling teruk terjejas dan telah mengorbankan tujuh penduduk.

Menurut pegawai bomba negeri, dua lagi terbunuh di Napa dan seorang di daerah Mendocino manakala dua orang dilaporkan kritikal di Hospital Memorial Santa Rosa.

Setakat ini, 2,631 hektar tanah terbakar dan asap tebal menyelubungi kawasan berkenaan.

Lantaran itu, Gabenor California Jerry Brown mengisytiharkan darurat di tiga daerah teruk terjejas iaitu Napa, Sonoma serta Yuba. – Bernama, 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen