KERAJAAN Australia akan menubuhkan pasukan petugas baharu untuk mengatasi masalah campur tangan pihak asing di universiti negara itu, lapor agensi berita Xinhua.
Menteri Pendidikan Australia, Dan Tehan pada Rabu mengumumkan penubuhan pasukan petugas itu ketika berucap dalam satu majlis National Press Club.
Pasukan petugas itu akan dianggotai kakitangan universiti dan pegawai komuniti perisikan dan birokrasi Australia.
Tehan berkata empat “bidang strategik utama” telah dikenal pasti termasuk keselamatan siber, penyelidikan, harta intelektual dan kerjasama dengan universiti asing.
“Kumpulan kerja keselamatan siber akan memastikan ekosistem kita berdaya tahan terhadap akses tanpa kebenaran, manipulasi, gangguan atau kerosakan, selain mengurus serta melindungi rangkaian kita dengan lebih baik, di samping mengesan dan bertindak balas terhadap insiden keselamatan siber jika berlaku,” katanya.
“Ia bertujuan melindungi sebarang penipuan, pengaruh tidak sihat, pendedahan yang tidak dibenarkan atau gangguan kepada penyelidikan, harta intelektual dan komuniti penyelidikan selain melindungi kebebasan akademik,” katanya. – Bernama, 28 Ogos, 2019.
Komen