Myanmar lancar pelan bertindak mitigasi risiko bencana


Myanmar mengalami kerugian tahunan sebanyak tiga peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar akibat bencana alam sejak tiga tahun lepas dan perubahan lanskap akibat bencana alam. – Gambar AFP, 10 Oktober, 2017.

KERAJAAN Myanmar melancarkan satu pelan bertindak berhubung pengurangan risiko bencana 2017 bagi merangsang pelaburan dalam pencegahan risiko bencana, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan media rasmi negara itu, Global New Light of Myanmar.

Naib Presiden Kedua U Henry Van Thio berkata pelan itu akan meliputi bencana alam semula jadi serta kemalangan yang disebabkan manusia.

Terdapat keperluan untuk menggerakkan sumber domestik mahupun antarabangsa bagi memastikan kejayaan pelaksanaan pelan bertindak itu, yang mula didraf pada Oktober 2016, katanya pada majlis pelancaran pelan berkenaan pada Isnin.

Myanmar mengalami kerugian tahunan sebanyak tiga peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akibat bencana alam sejak tiga tahun lepas.

Negara itu turut menyaksikan perubahan lanskap risiko bencana dalam skala kecil dan sederhana serta bencana akibat cuaca seperti banjir dan siklon yang semakin meningkat.

Perubahan dalam jumlah hujan purata, kenaikan paras laut dan peningkatan suhu turut dipersalah kerana memburukkan lagi kejadian bencana di Myanmar. – Bernama, 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen