SEORANG perunding imej memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini beliau menerima cek bernilai RM2 juta dari Najib Razak bagi perkhidmatan digital merangkumi menguruskan laman web, akaun media sosial dan aktiviti dalam talian lain bekas perdana menteri itu.
Nurhaina Diarwani Mohd Nor berkata syarikatnya, Orb Solutions Sdn Bhd menerima bayaran itu dari Najib pada Ogos 2013.
Nurhaina, ketua pegawai ekesekutif (CEO) di Orb Solutions, dinamakan dalam pertuduhan pengubahan wang haram ke atas Najib. Menurut kertas pertuduhan, bayaran itu dibayar menerusi cek AmIslamik pada 12 Ogos 2013.
Saksi ketiga pasukan pendakwaan itu tidak dapat mengingati siapakah kakitangan syarikatnya yang menerima cek tersebut. Beliau bagaimanapun berkata pembayaran itu adalah untuk pembiayaan operasi syarikat.
Ketika pendakwaan menunjukkan cek berkenaan, Nurhaina mengesahkan tandatangan pada cek itu milik Najib.
Menurut saksi itu, pada 2008 beliau berjumpa pegawai Najib, Amhari Efendi Nazaruddin yang mahu melantiknya sebagai pengurus pasukan kontraktor yang menguruskan komunikasi digital bekas perdana menteri itu. – 28 Ogos, 2019.
Komen