5 migran lemas, 65 lagi diselamatkan di perairan Libya 


Anggota pasukan penyelamat mengangkat mayat migran yang terdampar di pesisir pantai Libya. – Gambar EPA, 28 Ogos, 2019.

SEKURANG-kurangnya lima migran lemas manakala 65 lagi diselamatkan di pantai barat laut Libya, lapor agensi berita Anadolu memetik Angkatan Tentera Laut Libya pada Selasa.

Pengawal pantai negara itu menerima maklumat sebuah bot dinaiki migran berada kira-kira sembilan kilometer dari pantai bandar Khoms dan memerlukan bantuan segera, kata pihak Tentera Laut Libya dalam satu kenyataan.

Bot itu membawa migran dari Sudan, Mesir dan Maghribi. Operasi mencari sedang dijalankan untuk mengesan mayat atau mangsa yang selamat.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dalam satu kenyataan pada lewat Selasa berkata, sekurang-kurangnya 40 migran kebanyakan warga Sudan dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas.

Migran yang diselamatkan dihantar ke sebuah bandar pantai di timur ibu kota Tripoli dan pasukan UNHCR menyediakan bantuan perubatan dan kemanusiaan.

Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih dijalankan.

Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), 578 migran lemas di perairan Libya, Malta dan Itali di Mediterranean sejak awal tahun ini hingga 15 Ogos.

Tahun lepas, lebih 2,240 orang terbunuh atau hilang di laut ketika cuba untuk menuju ke Eropah melalui Mediterranean. – Bernama, 28 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen