Bos teksi biru mohon maaf kepada rakyat Indonesia


Mastura Malak

Shamsubahrin Ismail berkata beliau tiada niat menghina taraf sosio ekonomi rakyat Indonesia mahupun mereka yang terlibat mengedalikan perkhidmatan teksi motosikal di republik itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Ogos, 2019.

PENGASAS dan penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd Shamsubahrin Ismail hari ini meminta maaf kepada rakyat Indonesia selepas kenyataannya mengenai perkhidmatan Go-Jek yang dianggap menghina.

Katanya, beliau tiada niat untuk menghina taraf sosio ekonomi rakyat Indonesia mahupun mereka yang terlibat mengedalikan perkhidmatan teksi motosikal di republik itu.

“Saya memohon maaf kepada semua rakyat Indonesia kerana melabelkan anda orang miskin.

“Selepas letak nombor telefon di media sosial, saya dihujani ribuan mesej dari rakan di Indonesia yang menyatakan pendirian mereka mengenai kenyataan tempoh hari.

“Demi silaturahim antara Malaysia dan Indonesia, saya memohon maaf dan ingin menjelaskan bahawa sebenarnya tiada niat untuk mengatakan rakyat Indonesia miskin,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Big Blue Teksi di Kuala Lumpur, hari ini.

Shamsubahrin meminta maaf selepas persatuan pengendali Go-Jek di Indonesia semalam mengancam mengadakan tunjuk perasaan di luar pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan pejabat konsulat di beberapa bandar lain di republik itu.

Rapat umum itu dijadual diadakan pada 3 September ini.

Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd dikecam Go-Jek Indonesia kerana dianggap menghina syarikat itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Ogos, 2019.

Shamsubahrin mengeluarkan kenyataan menghina itu dalam reaksinya mengulas keputusan Jemaah Menteri minggu lalu yang bersetuju pada dasarnya membenarkan operasi teksi motosikal.

Semalam, beberapa media di Indonesia memetik kenyataan Ketua Nasional Gabungan Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia Igun Wicaksono sebagai berkata mereka akan mengemukakan surat bantahan kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia Zainal Abidin Bakar.

Sementara itu, Shamsubahrin berkata, pihaknya tidak menghalang sekiranya perkhidmatan Dego Ride dihidupkan semula atas sentimen menyokong produk tempatan, berbanding meluluskan kemasukan Go-Jek ke Malaysia. 

Katanya, perkhidmatan dari negara luar akan memberi kesan negatif kepada Malaysia termasuk pengaliran keluar wang negara.

“Sekurang-kurangnya produk tempatan seperti Dego Ride, kita ada kawalan terhadap syarikat terbabit, berbanding produk asing yang boleh ‘angkat kaki’ dan pulang ke negara asal mereka jika berdepan masalah.

“Pendapatan yang dikaut sistem pengangkutan awam kendalian syarikat asing juga mengalir keluar, justeru kita hanya mengalami kerugian.

“Oleh itu, lebih baik sokong produk tempatan yang sangat berjaya sebelum ini,” katanya.

Dego Ride mula diperkenalkan sejak 2016 tetapi diharamkan oleh Kementerian Pengangkutan beberapa bulan kemudian atas faktor keselamatan.

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya minggu lalu, atas cadangan yang dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, meluluskan secara prinsip perkhidmatan teksi motosikal.

Kabinet mengarahkan Kementerian Pengangkutan membuat kajian antaranya melibatkan aspek perundangan sebelum kerajaan akan memberi lampu hijau sepenuhnya.

Sebelum mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu, Syed Saddiq secara terbuka mendedahkan usahanya mendapatkan sokongan daripada menteri-menteri lain terhadap cadangan yang akan dibawanya yang melibatkan syarikat aplikasi sama dari Indonesia, Go-Jek.

Namun, Syed Saddiq dikritik kerana tidak mengutamakan Dego Ride, sebuah syarikat tempatan yang aplikasinya diharamkan kerajaan sebelum ini atas alasan keselamatan. – 28 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen