POLIS meminta Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam menghantar bukti yang didakwa diperolehi daripada syarikat berpangkalan di UK berkaitan video seks terkait dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sudah menghantar sepucuk surat kepada Lokman meminta salinan video diberikan kepada syarikat itu, Verden Forensics yang menyediakan perkhidmatan analisis forensik, lapor portal Free Malaysia Today.
Polis juga meminta laporan analisis dibuat syarikat itu.
Lokman bagaimanapun berkata, beliau akan berjumpa polis pada 2 September ini kerana sedang berada di Indonesia sekarang.
Minggu lepas, selepas pulang dari UK, Lokman berkata beliau sudah berurusan dengan syarikat tersebut untuk mengesahkan ketulenan video intim dua lelaki itu.
Katanya, analisis syarikat itu mendapati dua lelaki dalam berkenaan “menyamai” Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Haziq sebelum ini mengakui beliau adalah salah seorang pelaku video itu, dan menamakan Azmin sebagai seorang lagi pelakunya.
Azmin yang juga timbalan presiden PKR, bagaimanapun, menafikan tuduhan tersebut menyifatkannya sebagai rancangan jahat merosakkan kerjaya politiknya.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pakar Malaysia mendapati ketulenan video itu “tinggi” tetapi identiti pelakunya tidak dapat dipastikan dengan tepat.
Lokman juga sekali lagi mempersoalkan mengapa polis tidak menghantar kertas siasatan video seks itu kepada Jabatan Peguam Negara dan mengapa PKR mahupun kerajaan Pakatan Harapan tidak mengambil sebarang tindakan kepada Azmin berkaitan skandal itu. – 28 Ogos, 2019.
Komen