2 anggota polis Palestin maut dalam letupan


Dua anggota polis Palestin terkorban dan seorang lagi cedera dalam letupan di Gaza malam semalam. – Gambar AFP, 28 Ogos, 2019.

DUA anggota polis Palestin terkorban dan seorang lagi cedera dalam letupan di Gaza malam semalam.

“Dua maut dan seorang lagi cedera dalam letupan yang tidak diketahui puncanya,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra.

Kenyataan Kementerian Dalam Negeri berkata kedua-dua mangsa ialah anggota polis dan pasukan keselamatan Gaza melancarkan siasatan berhubung kejadian itu.

Tentera Israel berkata ia tidak melancarkan serangan udara, dan saksi Palestin memberitahu mereka tidak nampak sebarang pesawat.

Wartawan menyaksikan kerosakan di rumah berhampiran dan darah di atas jalan raya.

Awal semalam, Israel melancarkan serangan udara terhadap Hamas selepas pejuang membedil mortar melepasi sempadan.

Saksi di wilayah pesisir pantai itu memberitahu bedilan dron Israel mengena kemudahan Hamas di timur kem pelarian Al-Bureij. Tiada kecederaan dilaporkan.

“Peluru mortar dikenal pasti dibedil dari Semenanjung Gaza ke wilayah Israel.

“Sebagai reaksi, pesawat tentera Israel menyasarkan pos tentera Hamas di utara Semenanjung Gaza,” kata kenyataan tentera Israel. – AFP, 28 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen