Tempahan kedua sistem pertahanan udara Rusia S-400 tiba di Turki 


Pesawat pengangkut yang membawa bahagan sistem pertahanan udara S-400 Rusia tiba di Turki.– Gambar EPA, 27 Ogos, 2019.

TURKI pada Selasa terus menerima tempahan keduanya untuk sistem pertahanan udara Rusia S-400, lapor agensi berita Anadolu memetik Kementerian Pertahanan Turki.

“Tempahan untuk kumpulan kedua itu tiba di Pangkalan Udara Murted berhampiran Ankara. Proses penghantaran akan mengambil masa sebulan,” tulis kementerian itu di Twitter.

Tempahan pertama diterima pada Julai.

Usaha berterusan untuk membeli sistem peluru berpandu pertahanan udara dari sekutu Amerika Syarikat (AS) gagal mencapai kejayaan, membuatkan Turki pada April 2017 menandatangani kontrak dengan Rusia untuk membeli S-400.

Turki bagaimanapun menegaskan bahawa S-400 tidak akan diintegrasi ke dalam sistem Nato dan tidak akan mendatangkan ancaman kepada pakatan itu.

Sebelum ini, Turki turut mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya menjelaskan sebarang isu teknikal, namun AS tidak memberi sebarang respon.

Sistem S-400 dilihat sebagai satu sistem peluru berpandu paling maju di dunia kerana berupaya mengesan beberapa sasaran pada masa yang sama. – Bernama, 27 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen