Mayat lelaki Bangladesh ditemui dipercayai dibunuh   


MAYAT seorang lelaki warga Bangladesh ditemukan di kebun sayur di Kampung Sendrop, Lojing di sini, pagi tadi, dipercayai dibunuh.

Ketua Polis Daerah, Supt Mohd Taufik Maidin berkata, mayat lelaki berusia 20 tahun ditemui kira-kira pukul 9.30 pagi, dalam keadaan tertiarap dengan kesan luka di leher, oleh pemilik kebun berusia 33 tahun.

“Pasukan forensik juga sudah melakukan pemeriksaan ke atas mayat mangsa dan ada kesan luka di leher tetapi tidak menemui sebarang senjata tajam berhampiran mayat itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Taufik berkata, siasatan awal juga tidak mendapati kesan sebarang pergelutan di lokasi dan polis kini sedang melakukan siasatan lanjut.

Sehubungan itu, sesiapa yang melihat kejadian itu atau ada maklumat mengenainya diminta supaya menghubungi balai polis berhampiran menghubungi ASP Hanafi Yahya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama, 27 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen