Cendekiawan Islam Kassim Ahmad meninggal dunia


Penulis buku yang juga cendekiawan Islam Kassim Ahmad meninggal dunia di Hospital Besar Kulim, selepas koma kerana masalah paru-paru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2017.

CENDEKIAWAN Islam dan penulis, Kassim Ahmad meninggal dunia di Hospital Besar Kulim pukul 10 pagi ini selepas tidak sedarkan diri sejak awal pagi semalam.

Anak lelakinya, Ahmad Shauqi Kassim mengesahkan pemergian bapanya itu kepada The Malaysian Insight.

Kassim menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 84 tahun.

Beliau sebelum itu dirawat di hospital berkenaan kerana masalah jangkitan paru-paru.

Shauqi sebelum ini dilaporkan berkata bapanya yang uzur dan berkerusi mengalami tekanan kerana naik turun mahkamah setelah didakwa menghina Islam oleh Jabatan Agama Wilayah Persekutuan.

Hanya dua bulan lepas, Mahkamah Syariah melepas dan membebaskan beliau daripada tuduhan.

Kassim mengharungi cabaran selama tiga tahun selepas dituduh menghina Islam dan ingkar fatwa yang dikeluarkan oleh Wilayah Persekutuan dalam sebuah seminar pada Februari 2014.

Beliau ditangkap di rumahnya di Kulim, Kedah pada Mac 2014. Beliau dibawa ke Kuala Lumpur dan didakwa atas dua tuduhan itu.

Selepas naik turun mahkamah mencabar bidang kuasa pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan, mahkamah Ogos lalu melepas dan membebaskannya daripada semua tuduhan. – 10 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen