PERTEMPURAN antara pejuang anti kerajaan dan pasukan rejim menyebabkan 51 terbunuh di barat laut Syria, kata pasukan pemerhati.
Tentera rejim yang mendapat sokongan Rusia masih berada di pinggir bandar Idlib yang menjadi kubu kuat pemberontak, sebuah wilayah yang bersempadan dengan Turki.
Namun kumpulan pemberontak pada Selasa menyerang kedudukan tentera rejim di benteng selatan, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain.
“Keganasan tercetus di timur bandar Khan Sheikhun selepas subuh apabila pasukan pemberontak dan pembangkang menyerang kedudukan tentera rejim,” kata ketua pasukan pemerhati Rami Abdel Rahman.
Serangan itu diketuai oleh kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda, Hurras al-Deen dan satu lagi kumpulan Ansar al-Deen, katanya.
Pertempuran itu menyebabkan 23 tentera rejim dan 20 pembangkang, termasuk 13 anggota pemberontak terbunuh.
Di benteng tenggara, lapan pemberntak terbunuh ketika cuba menyelinap ke arah kedudukan tetera rejim berhampiran lapangan terbang tentera Abu Duhur, tambah kumpulan pemerhati itu.
Pasukan rejim menawan semula Khan Sheikhun minggu lalu dan mara ke utara bandar itu sejak beberapa hari lalu dan bersiap sedia untuk melancarkan serangan seterusnya.
Bandar itu terletak di kawasan utama lebuh raya yang melalui Idlib, dan menawan kawasna berkenaan memberi kelebihan kepada kerajaan untuk menyambung semula perhubungan antara Damsyik dan Aleppo.
Tentera rejim dan Rusia turut melancarkan serangan bom di utara Khan Sheikhun sejak beberapa hari lalu.
Pada Isnin, serangan udara oleh tentera rejim dan Rusia menyebabkan 12 orang awam terbunuh di kubu kuat pemberontak. – AFP, 27 Ogos, 2019.
Komen