POLIS menahan tiga lelaki tempatan semalam selepas dipercayai terlibat dalam insiden serang pemandu dan kelindan lori menggunakan parang di Jalan Kulai-Sedenak, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, kedua-dua mangsa cedera setelah ditetak menggunakan parang di bahagian tangan, bahu, muka sebelah kiri sehingga menyebabkan muka kedua-dua mangsa koyak.
Katanya, penyerang juga bertindak memecahkan cermin hadapan, kiri dan kanan lori yang dinaiki mangsa.
“Satu laporan polis telah dibuat Sabtu lalu oleh mangsa di Balai Polis Kelapa Sawit menyatakan dia dan rakannya telah diserang empat lelaki menggunakan parang ketika menaiki sebuah lori di Jalan Kulai-Sedenak.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kulai telah berjaya menangkap seorang lelaki berumur 33 tahun kira-kira pukul 4 petang semalam.
“Kira-kira pukul 8.40 malam hari yang sama, satu tangkapan susulan pula dilakukan terhadap dua lelaki masing-masing berumur 29 dan 30 tahun di IPD Kulai dan soal siasat ke atas kedua-duanya mendapati mereka mengaku memukul dan merosakkan lori mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di Johor Bahru hari ini.
Tok berkata kesemua suspek ditahan dan dimasukkan ke dalam lokap IPD Kulai bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 324/427 Kanun Keseksaan.
“Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Kulai hari ini untuk mendapatkan permohonan reman di bawah Seksyen 117 KPJ (Kanun Prosedur Jenayah),” katanya. – Bernama, 27 Ogos, 2019.
Komen