China akan adakan latihan tentera berhampiran Taiwan


Ini adalah latihan ketiga berlaku dalam bulan ini selepas AS meluluskan penjualan senjata bernilai bilion dolar kepada Taiwan termasuklah pesawat pejuang F-16. – Gambar AFP, 27 Ogos, 2019.

CHINA mendedahkan ia akan mengadakan latihan ketenteraan di Laut China Timur berhampiran Taiwan minggu ini, mencetuskan ketegangan hubungan antara Beijing dan negara pulau itu. 

Ini adalah latihan ketiga berlaku dalam bulan ini selepas AS meluluskan penjualan senjata bernilai bilion dolar kepada Taiwan termasuklah pesawat pejuang F-16. 

Hubungan antara Beijing dan Taipen runcing sejak Presiden Tsai Ing-wen berkuasa pada 2016 kerana partinya enggan mengiktiraf idea bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada “Satu China”. 

Sebagai hukuman, Beijing memutuskan semua hubungan rasmi, memperhebat latihan ketenteraan, menghasut sekutu diplomatik dan meningkatkan tekanan ekonomi ke atas pulau itu. 

Beijing menganggap Taiwan adalah jajahan yang menunggu untuk disatukan, walaupun kedua-dua negara itu mempunyai pentadbiran berasingan sejak tamat perang saudara pada 1949. 

Kapal dilarang masuk ke perairan di timur China di daerah Zhejiang selama 48 jam bermula 6 petang hari ini kerana latihan ketenteraan, kata Pentadbiran Keselamatan Laut Zhejiang dalam satu kenyataan ringkas semalam. 

Ia tidak memberikan butiran lanjut tentang skala latihan dan unit tentera yang terlibat. 

Tentera Pembebasan Rakyat China mengadakan dua latihan ketenteraan berhampiran Selat Taiwan pada Julai lepas. 

Latihan itu dibuat selepas Kertas Putih diterbitkan pada Julai, apabila tentera China memberi amaran wujudnya peningkatan ancaman daripada gerakan pro kemerdekaan di Taiwan. – AFP, 27 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen