Sisters in Islam gagal cabar fatwa Selangor


Mohd Farhan Darwis

Sisters in Islam gagal mencabar fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang memfatwakan mereka sebagai sesat pada 2014. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Ogos, 2019.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Sisters in Islam (SIS) untuk mencabar fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama Selangor terhadap mereka lima tahun lalu.

Hakim Nordin Hassan berkata, Jawatankuasa Fatwa Selangor mengeluarkan fatwa berkenaan berlandaskan enakmen negeri itu.

“Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan perkara berkaitan undang-undang Syariah berada di bawa bidang kuasa negeri,” katanya.

Jawatankuasa Fatwa Selangor mengeluarkan fatwa bahawa SIS sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam pada 17 Julai 2014.

Fatwa berkenaan kemudiannya digazetkan pada 31 Julai tahun sama.

SIS memfailkan semakan kehakiman pada Oktober 2014 untuk mencabar keputusan itu.

Ia itu turut memohon perisytiharan bahawa sebagai syarikat berhad mengikut jaminan- ia didaftarkan dengan nama SIS Forum- di bawah Akta Syarikat 1965, ia tidak tertakluk dan terikat dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Hakim turut menolak semakan kehakiman kes itu dengan kos RM10,000.

Pengarah Eksekutif SIS Rozana Isa dan Marina Mahathir antara yang hadir di mahkamah hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Ogos, 2019.

Nordin berkata, sebagai sebuah syarikat yang mana pengarahnya terdiri daripada orang Islam, aktiviti SIS Forum juga terikat dengan undang-undang Islam dan fatwa.

Pengarah Eksekutif SIS Rozana Isa ketika ditemui pemberita melahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu walaupun sudah menjangkanya. 

“Kami akan berbincang dengan peguam sama ada akan membuat rayuan atau membawa kes ini ke mahkamah Syariah,” katanya.

Marina Mahathir yang turut hadir di mahkamah juga berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan itu.

Katanya, ia meletakkan syarikat yang mempunyai orang Islam sebagai pengarah juga terkesan dengan fatwa tersebut.

“Berdasarkan keputusan itu, mengikut kefahaman saya sebagai orang Islam, menjadi pengarah syarikat, mereka perlu berhadapan dengan undang-undang Syariah,” katanya.

Dalam permohonan mereka, SIS juga memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan Jawatankuasa Fatwa dan Mais yang mengarahkan sekatan dibuat ke atas laman sosialnya adalah bercanggah dengan Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mereka juga memohon perisytiharan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Mais melalui fatwa itu adalah ultra-vires (melampaui batasan undang-undang).  – 27 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen