MENDIANG Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais, yang mayatnya ditemui dalam tong berisi konkrit empat tahu lalu tidak mempunyai kaitan dengan siasatan kes SRC International, mahkamah diberitahu hari ini.
Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Rosli Husain mendedahkan perkara itu ketika disoal balas peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah yang mendakwa bekas perdana menteri itu secara tidak adil dikaitkan dengan pembunuhan kejam itu.
“Morais tidak terlibat dalam siasatan (SRC). Malah, saya sendiri tidak pasti sama ada dia terlibat dalam kes 1MDB juga,” katanya merujuk kepada kes yang menyaksikan Najib dihadapkan dengan 25 pertuduhan jenayah.
“Jadi dakwaan yang Kevin Morais ada kaitan, semua tipu?” tanya Shafee yang mengetuai pasukan pembelaan Najib.
Pendakwa Raya Khas V Sithambaram membantah soalan itu, berkata kes Morais yang sedang dibicarakan tiada kaitan dengan perbicaraan SRC International.
Shafee kemudiannya berkata kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali: “Kerana tidak ada arahan sekatan…anak guam saya dikaitkan dengan pembunuhan Kevin Morais.”
“Anak guam saya bukan sahaja mahu dibebaskan tetapi dia mahu dibersihkan daripada semua dakwaan.”
Mayat Morais ditemui di USJ 1, Subang Jaya, Selangor pada 16 September 2015, 12 hari selepas dilihat buat kali terakhir meninggalkan rumahnya di Segambut, Kuala Lumpur untuk ke tempat kerja.
Pembunuhan Morais berlaku ketika pihak berkuasa giat melancarkan siasatan penyelewengan SRC International dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Siasatan SRC International bermula secara rasmi pada 6 Julai 2015, tetapi ia terhenti apabila Najib yang ketika itu perdana menteri menggantikan peguam negara dan memecat menteri yang lantang bersuara mempersoalkan skandal 1MDB.
Najib berdepan tujuh pertuduhan jenayah kerana RM42 juta dana SRC International yang dimasukkan ke dalam akaunnya.
Perbicaraan kes 1MDB pula akan bermula esok menyaksikan bekas perdana menteri itu berdepan 25 pertuduhan jenayah kerana penyelewengan dana berjumlah RM2.3 bilion. – 27 Ogos, 2019.
Komen