JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya mencadangkan konsert pada malam Maal Hijrah dipinda ke masa dan tarikh lain dan menafikan membuat sebarang keputusan mengenai konsert SPB’ Live pada Sabtu ini.
Jakim berkata ia terpulang kepada Agensi Pusat Permohonan Pengambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) untuk meminda konsert penghibur India, S.P. Balasubrahmanyam yang awalnya dijadualkan pada petang Sabtu.
“Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di negara ini, Jakim telah memberi pandangan bahawa memandangkan tarikh 1 Muharram 1441H yang merupakan hari kebesaran Islam, bermula pada terbenam matahari 31 Ogos 2019 sehingga terbenam 1 September 2019, adalah wajar konsert-konsert hiburan pada waktu tersebut dipinda ke tarikh atau waktu yang lain.
“Jakim bukanlah pihak berkuasa yang meluluskan permohonan penganjuran acara seumpama ini, Jakim memberi pandangan dan nasihat dari sudut agama mengenai kesesuaian waktu penganjuran konsert tersebut sahaja.
“Kami ingin tegaskan bahawa keputusan ini dibuat oleh Puspal secara konsensus bersama agensi-agensi lain sebagai ahli Puspal,” kata Jakim dalam satu kenyataan hari ini.
Puspal semalam berkata ia tidak mengeluarkan sebarang surat sokongan kepada penganjur konsert, Raaghav Production, untuk mengadakan acara dari jam 7 malam hingga 11 malam pada 31 Ogos, yang merupakan malam Maal Hijrah.
Puspal juga berkata permohonan penganjur ditolak berdasarkan nasihat Jakim untuk mengadakan konsert itu pada “tarikh lebih sesuai” agar tidak menyinggung perasaan orang Islam kerana Tahun Baru Islam bermula dari 31 Ogos hingga matahari terbenam pada hari berikutnya.
Isu ini timbul selepas laporan bahawa konsert Balasubrahmanyam dan seorang lagi penyanyi Cina diarahkan oleh Puspal untuk menukar tarikh acara.
Konsert Balasubrahmanyam di Dewan Pleno KLCC akan diadakan pada jam 3 petang pada hari yang sama, empat jam lebih awal daripada masa yang dinyatakan pada awalnya. – 27 Ogos, 2019.
Komen